Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified


Syed Husin Ali: Bagaimanakah hasil PETRONAS dibelanjakan?

Syed Husin Ali | Jul 07, 2011 01:41:58 pm


 
Sebagaimana yang kita semua maklum, petroleum merupakan sumber kekayaan penting yang menyumbang besar kepada pendapatan negara.  Semenjak penubuhan PETRONAS pada tahun 1974 sehinga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, badan ini telah mencatat keuntungan sebanyak RM560 billion.

Daripada jumlah ini PETRONAS membayar kepada Kerajaan Malaysia sebanyak RM357.8 bilion (atau 62.8%) dalam bentuk cukai, royalti, duti eksport dan dividen.  Selebihnya sebanyak RM170.8 bilion (atau 30%) digunakan untuk pelaburan semula, manakala RM41.4 bilion (atau 7.2%) merupakan peruntukan bagi pemegang saham minoriti.

Baru-baru ini PETRONAS mengumumkan mendapat keutungan hampir RM100 bilion dalam tahun lepas dan telah menyerahkan kira-kira RM30 bilion kepada Kerajaan.  Jumlah ini besar oleh kerana kenaikan harga petroleum di pasaran dunia yang turut memberikan keuntungan lumayan kepada PETRONAS.

Saya ingin menimbulkan beberapa perkara terutamanya berhubung wang yang telah diserahkan kepada atau diperolehi Kerajaan daripada PETRONAS ini.  Saya harap soalan-soalan yang saya kemukakan dapat dijawab dengan sepenuhnya.

Pertama, segala hal ehwal yang berkaitan PETRONAS adalah di bawah tanggunghjawab Perdana Menteri.  Saya kira Perdana Menteri saja yang mula-mula mengetahui, misalnya, mengenai jumlah perbelanjaan sebenar setiap tahun yang digunakan daripada wang PETRONAS dan untuk apa ia dibelanjakan.

Mantan PM Mahathir Mohamad pernah menyatakan tahun lalu bahawa jumlah yang dibelanjakan oleh mantan Perdana Menteri selepasnya - Abdullah Badawi, dalam masa kira-kira lima tahun memerintah, adalah jauh lebih besar daripada jumlah yang beliau sendiri belanjakan dalam tempoh lebih 22 tahun beliau berkuasa.

Saya ingin mendapat tahu berapakah jumlah wang PETRONAS yang telah dibelanjakan oleh tiap-tiap seorang daripada lima orang Perdana Menteri berikut, iaitu: Abdul Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamaed, Abdullah Badawi dan sekarang Najib Razak.

Kedua, saya kira wang PETRONAS yang diserahkan kepada Kerajaan itu tentulah dibelanjakan untuk pelbagai rancangan dan tujuan.  Saya mengetahui tentang sumbangannya kepada penubuhan Universiti Teknologi Petronas, Grand Prix PETRONAS F1 dan pasukan F1 Sauber-BMW PETRONAS dan Galeri PETRONAS dan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS.

Saya sebenarnya ingin mendapat maklumat terperinci daripada jumlah perbelajaan bagi setiap projek itu.  Akan tetapi buat setakat ini, saya cuma ingin mengetahui jumlah perbelanjaan setiap Perdana Menteri yang tersebut tadi untuk dua perkara sahaja, iaitu: (i) nama dan belanja projek-projek mega yang dilaksanakan dan (ii) belanja untuk mendirikan Philharmonic Orchestra termasuk belanja untuk pemain musiknya (dengan menyebutkan bilangan pemusik asing dan jumlah yang dibayar sebagai gaji mereka setiap tahun).

Berkaitan jenis perbelanjaan atau bayaran ini, mengikut Penyata Tahunannya bagi tahun 2010, PETRONAS menanggung subsidi berhubung bekalan gas sebanyak RM18.9 billion.  Sejak harga ditentukan (regulated price) berkuatkuasa pada bulan Mei 1997, PETRONAS menanggung subsidi bertimbun tambah sebanyak RM116.4 bilion untuk subsidi gas.  Sila terangkan siapa dan dari golongan manakah yang mendapat faedah daripada subsidi ini?

Ketiga, berhubung perkara kedua di atas, saya ingin mengetahui sejauh manakah projek mega menguntungkan rakyat kebanyakan.  Secara umum saya mengetahui projek-projek mega itu telah memberi keuntung dan faedah besar kepada korporat-korporat dan kontraktor-kontraktor kroni serta keluarga pemimpin-pemimpin berkuasa dalam Kerajaan.

Lebih penting lagi, berapa banyakkah daripada wang PETRONAS ini secara terperinci dibelanjakan oleh tiap-tiap PM tersebut di atas untuk kebajikan dan keuntungan golongan miskin dan berpendapatan rendah?  Petroleum merupakan anugerah Allah S.W.T kepada negara ini.  Saya berpendapat sumber ini seharusnya digunakan terutama sekali untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan bawahan yang miskin atau berpendapatan rendah, daripada menambah kekayaan segelintir daripada golongan atasan yang sudah sememangnya kaya.

Adakah wang ini digunakan untuk menghapuskan keniskinan terutama sekali kemiskinan tegar?  Berapakah jumlah, jika ada, yang telah dibelanjakan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan rakyat miskin, khususnya di kawasan desa?  Apakah jumlah yang dibelanjakan untuk menyediakan kemudahan sosial yang penting, seperti perumahan kos rendah bagi golongan bawahan yang kesempitan hidup?

Ke-empat, hasil petroleum ini merupakan hasil yang akhirnya akan lupus.  Ada pendapat bahawa dalam 10-15, jika tiada sumber tambahan yang baru, hasil petroleum dalam negara ini akan habis.  Mempertimbangkan hal ini, Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika itu telah menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara pada tahun 1988.  Tujuannya untuk memastikan ada simpanan untuk faedah generasi akan datang, dalam keadaan keluaran negara yang menyusut.

Saya ingin mengetahui berapakah jumlah simpanan tertinggi yang pernah dicapai oleh Kumpulan Wang ini.  Saya mendapat tahu bahawa sebahagian besar jumlah simpanan ini sudahpun digunakan.  Oleh siapa dan untuk apa?  Berapakah jumlah bakinya sekarang?  Adakah usaha untuk menghidup atau mengaktifkan semula kumpulan wang ini?

Sekian, terima kasih.

*Ucapan penangguhan di Dewan Negara oleh Syed Husin Ali (gambar kanan), pada 6 Julai 2011.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.