Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
 
Mereka terus menderita, dan mereka terus melawan
 
Nashita Md Noor | Feb 29, 2012 01:02:17 pm

|
"Pengalaman perit sebagai tahanan ISA ialah saya rasa sepi, sunyi rindukan anak-anak dan isteri yang terpisah lama."

Ini adalah sebahagian kata-kata dari Saari Sungib (gambar kanan) sebagai saksi pertama yang memberikan keterangan bersumpah di Mahkamah untuk kes saman lima orang bekas tahanan ISA Reformasi melawan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Bukan pertama kali untuk saya mendengar ungkapan ini, malah berkali-kali saya mendengarnya.  Saya menghayati setiap patah perkataan ini apabila sejak hari pertama Saari Sungib ditahan ISA pada 10 April 2001 kami sekeluarga sudah bersama keluarga ini membantu mereka dalam menghadapi detik-detik kezaliman ISA yang menimpa mereka.

Mulai saat itu tertubuhlah Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA di bawah Gerakan Mansuhkan ISA.  Kami membantu setiap keluarga yang suami, anak atau sesiapa sahaja yang ditahan ISA, tanpa mengira agama, bangsa malah kewarganegaraan manapun jua.  Ini kerana ISA tidak hanya kena pada Rakyat Malaysia sahaja, malah warganegara luar seperti Nigeria, Arab Saudi, Indonesia juga Filipina turut terkena.

Saya masih ingat di salah satu perjumpaan Pusat Sokongan Keluarga tahanan ISA dengan Kementerian Dalam Negeri dalam tahun 2003 saya bangun mengatakan bahawa saya adalah AJK Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA (PSK).  Kami terpaksa menubuhkan badan ini kerana pihak yang bertanggungjawab menangkap rakyat secara zalim dan memisahkan dengan ahli keluarga secara paksa tidak memberikan bantuan dan menjaga kebajikan mereka.

Sejak dari tahun 2001 saya bersama beberapa Isteri tahanan ISA dan AJK Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Parti Politik, PAS, DAP, PKR dan NGO-NGO berusaha keras tanpa jemu membantu keluarga yang dizalimi ini.  Banyak usaha yang kami jalankan bersama samada bantuan kebajikan mahupun desakan untuk membebaskan semua tahanan ISA dengan segera.

Dengan sumbangan orang ramai kami berusaha menampung keperluan mereka.  Ketika ramai mangsa tahanan ISA yang mencecah lebih seratus orang usaha kami mendapat perhatian ramai.  Ramai rakyat yang prihatin menyumbang kepada GMI untuk keluarga tahanan ISA.  Kami pernah berjaya mengusahakan beberapa buah keluarga Tahanan ISA dari Sandakan dibawa ke Semenanjung untuk berjumpa suami dan ahli keluarga mereka di Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting (KEMTA).  Mungkin itulah kali pertama dan terakhir peluang untuk mereka menziarahi KEMTA sepanjang bertahun-tahun dipisahkan.  Kami juga berjaya menyewa bas beberapa kali untuk membolehkan ahli keluarga yang ramai dari Johor menziarahi KEMTA.  Pernah juga kami mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan bas untuk membawa ahli keluarga tahanan ISA melawat ahli keluarga di KEMTA.  Kami menguruskan agar ada kawan-kawan yang bergilir membawa keluarga ke KEMTA.

Semua ini kami lakukan tanpa jemu kerana sedar kehidupan mereka melarat dan merana apabila suami, khususnya dipisahkan secara zalim.

Apabila ini berlaku suami, sebagai ketua keluarga dirampas secara zalim oleh penguasa dengan menggunakan akta ISA, maka hilanglah tempat untuk mereka bergantung.  Kehidupan menjadi susah, fikiran kacau, pedih dan sedih.  Anak-anak hilang kasih sayang, ibu ayah menderita kehilangan anak.

Sukar untuk diceritakan penderitaan yang mereka lalui, saya sedikit sebanyak menghayatinya walau suami saya tidak pernah ditangkap di bawah ISA.  Saya berkongsi penderitaan mereka dan cuba membantu mereka seboleh yang mungkin.  Terlalu banyak perkara yang tidak dapat saya lupakan sepanjang perjalanan bersama keluarga tahanan ISA ini.  Pedih, marah, perit semua dilalui.  Anak-anak yang menderita sakit mental dan fizikal.  Kami berhadapan dengan dua orang anak tahanan ISA yang sama baya dan sama waktunya menderita sakit mental, masalah kejiwaan hingga perlu diletakkan di bawah perhatian doktor pakar dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.  Mereka anak lelaki sulong dan merasakan penderitaan ibu yang kehilangan tempat bergantung.  Mereka yang di usia belasan tahun merasakan merekalah yang sepatutnya mengambil alih tanggungjawab itu.

Anak-anak kecil yang menderita.  Anak yang pergi buat selamanya dan tidak sempat dijenguk oleh sang Ayah hanya kerana pihak polis dan SB melewatkan membawa pulang si ayah dari tempat tahanan.  Ibu ayah yang sudah tua yang menderita hingga saat kematian tidak sempat diziarahi si anak.

Isteri-isteri yang dahulunya hanya seorang suri rumah sepenuh masa terpaksa mengambil alih tugas mencari rezeki menampung perbelanjaan.  Harta benda banyak terpaksa dikorbankan.  Ada yang kehilangan rumah dan perniagaan besar apabila gagal menjelaskan pinjaman.  Semua ini menambahkan trauma kepada ahli keluarga.  Ada isteri yang mencari nafkah dengan berbagai cara.  Mereka berusaha sepanjang terpisah dengan suami secara paksa.  Ada yang dua tahun dan ada yang mencecah hingga lapan tahun.

Kami di PSK GMI tidak pernah melupakan mereka.  Dengan sumbangan orang ramai kami membantu mereka apabila mereka memerlukan terutama sekali apabila menjelang hari perayaan dan juga awal tahun untuk perbelanjaan kembali ke sekolah juga sepanjang tahun apabila diperlukan.  Adakalanya mereka akan menghubungi kami untuk meminta bantuan apabila sudah terdesak.  Pernah seorang isteri memohon bantuan sekadar RM70 bagi membeli gas memasak yang sudah kehabisan dan barangan dapur.  Ada yang memohon sekadar RM50 untuk membeli ubat.  Inilah faktanya, mereka susah namun mereka tidak meminta-minta.

Walaupun ada tahanan ISA yang sudah dibebaskan dan bebas untuk bekerja namun atas masalah trauma dan tekanan perasaan, masih ramai yang gagal mendapatkan pekerjaan yang tetap, maka kami di PSK GMI masih dihubungi mereka untuk bantuan.  Kami sedaya cuba memenuhi permintaan mereka.

Kini sudah ramai tahanan ISA dibebaskan.  Dari angka yang mencecah ratusan kini tinggal beberapa puluhan orang.  Walau ISA sudah dijanjikan untuk dimansuhkan masih ada yang baru ditahan bila pihak berkuasa masih menangkap belasan tahanan yang baru dari Tawau Sabah.  Maka masih ada keluarga-keluarga miskin di pedalaman yang menderita kehilangan tempat bergantung.  Ada isteri yang sedang sarat mengandung dan menanti hari untuk melahirkan ketika suami dirampas pergi, anak-anak yang terus menderita, ibu ayah yang menahan rasa.

ISA masih mencengkam, kehidupan rakyat masih tidak selamat dengan adanya ISA.  Masih ada rakyat yang perlu pembelaan.  Kerajaan terus terusan menahan rakyatnya secara zalim melalui ISA dengan alasan menjaga keselamatan awam dan tahanan memudaratkan keselamatan negara.  Alasan ini dikenakan ke atas semua tahanan ISA.

Sayangnya mangsa ISA sebenarnya ditangkap, dizalimi dipisah secara paksa bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara seperti didakwa kerana tidak pernah ada bukti.  Sebaliknya mereka ditangkap semata-mata untuk menjaga keselamatan mereka yang berkuasa.

"Sepanjang saya ditahan, tidak pernah ditanya tentang memiliki bom dan niat untuk menggulingkan kerajaan.  Apa yang ditanya dan dibebelkan berulangkali ialah tentang fitnah terhadap Anwar Ibrahim, tentang Anwar Ibrahim mempunyai 30 lebih wanita.  Kami ditahan hanya kerana kami berani mencabar kerajaan dan kami adalah menjadi ancaman dan mudarat kepada UMNO."

Kenyataan bersumpah oleh Saari Sungib di Mahkamah pada 27 Februari 2012 dalam kes saman atas penahanan mereka di bawah ISA dari 10 April 2001-1 Jun 2003.

Keluarga dipisahkan secara zalim, dibiarkan menderita bukan kerana suami dan ayah mereka mengancam keselamatan negara sebenarnya.  Dua tahun hingga lapan tahun malah ada yang lebih lama dibiarkan menderita dengan penahanan yang tidak sah, zalim, tanpa dibicarakan dan tanpa perlu diadakan sebarang bukti.

Mereka terus menderita dan rakyat terus diancam keselamatan hidup dengan wujudnya ISA dan undang-undang lainnya yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Maka terus lawan hingga ISA dimansuhkan dan semua tahanan dibebaskan dengan segera.

LAWAN tetap LAWAN!

Kisah ayah yang tidak sempat bertemu anaknya buat kali terakhir.
http://ummuasiah2001.blogspot.com/2008/07/pulangkan-ayah-ainadoakan-kesejahteraan.html

Kisah penderitaan isteri.

http://ummuasiah2001.blogspot.com/2008/11/moga-kesah-allahyarham-adik-aina-tidak.html
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara.  Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.