Selasa, 21 Februari 2012
UMNO memulakan keganasan
Beberapa bulan yang lalu, ceramah Sdr Azmin Ali di Pagoh (di Bukit Kepong) telah diganggu dengan jeritan, sorakan, dan rempuh masuk oleh segolongan pemuda yang mengganas.
Setelah ceramah itu selesai, kami terpaksa meninggalkan majlis itu dengan di eskot keluar oleh pihak polis.
Tidak lama selepas itu, ceramah yang diadakan oleh PKR di Felda Maokil dimana saya menjadi penceramah utamanya terpaksa diberhentikan kerana telah diganggu dengan cara yang demikian rupa ia menjadi tidak dapat diteruskan langsung.
Di kedua-dua lokasi itu terdapat ramai pihak polis yang bertugas terutama sekali di Bukit Kepong. Namun, pihak polis yang bertugas tidak mengambil apa-apa tindakan. Polis tidak mengambil tindakan menangkap mana-mana pengacau yang mengganas itu.
Senario mengganas oleh kumpulan Melayu ekstrim ini adalah fenomena baru didalam senario politik tanah air. Kalau terdahulu dari ini, ceramah-ceramah politik yang dianjurkan oleh Pembangkang diganggu oleh pihak polis, tetapi di akhir-akhir ini, taktik gangguan ini mulai berubah. Polis nampak tidak lagi mengganggu ceramah-ceramah Pembangkang, tetapi gangguan itu didatangkan oleh samseng-samseng yang diupah dan berlaku dihadapan kehadiran polis yang ramai yang tidak melakukan apa-apa tindakan.
Negeri Johor merupakan Negeri yang paling banyak menyaksikan gangguan gangguan daripada samseng-samseng ini. Di hampir semua ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat semasa PRK Tenang dulu diganggu oleh puak-puak ini. Dan semua gangguan itu berlaku dihadapan pihak Polis yang beruniform.
Di akhir-akhir ini pula di kesemua kawasan ceramah yang dianjurkan oleh PR, UMNO/BN akan meletakkan bendera parti itu dengan lebatnya sehingga memenuhi tempat-tempat lokasi ceramah itu sendiri. Banner-banner yang dipasang oleh mereka berupa probokatif tetapi dengan laporan polis yang dibuat pun banner-banner itu tetap kekal tidak diturunkan.
Adakah senario baru ini suatu rancangan dari UMNO/BN bagi menghadapi ceramah anjuran PR? UMNO/BN akan membuat probokasi dengan mengupah samseng-samseng yang akan membawa bendera UMNO/BN dan mengacau ceramah-ceramah PR dengan membaling batu, kayu, telur busuk dan botol-botol air?
Samseng-samseng ini juga membawa kayu dan belantan dan memukul para hadirin dan merosakkan kenderaan-kenderaan terutamanya yang membawa penceramah-penceramah utama.
Dato Seri Anwar Ibrahim telah diserang oleh samseng-samseng ini di Semberong. Kenderaan yang membawa Dato Seri Anwar telah mengalmi kerosakan, cermin kereta pecah dan pintu kereta kemik.
Sebelum itu mereka yang menghadiri ceramah anjuran ABU-Hindraf telah diserang dan berlaku kecederaan.
Malaysia bukan lagi boleh berbangga dengan gelaran Negara demokrasi, tetapi sebuah Negara yang sedang membunuh demokrasi yang dilakukan oleh parti yang memerintah.
Dan jika pihak Polis terus membiarkan keadaan ini, apatah lagi bersekongkol dengan tindakan ganas ini, maka demokrasi akan runtuh dan Negara ini akan menempatkan anarki dan undang-undang tidak akan berguna lagi!
0 orang berkata:
Post a Comment