Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
 
 Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
 
PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju untuk menubuhkan panel bebas bagi menyiasat semua insiden keganasan ketika perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu, yang diadakan untuk menunut pilihan raya yang adil dan bebas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata,nama anggota panel akan diumumkan kelak.

“Kita dah bincang dalam Kabinet dan tiada bantahan langsung dalam penubuhan panel bebas bagi mengesahkan apa saja hasil siasatan polis, termasuk terhadap anggota mereka sendiri “Saya mengesahkan bersandarkan kepada pendirian Kabinet sendiri bahawa pihak polis dan Peguam Negara dalam proses siasatan dan pendakwaan perlu dilakukan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di sini, hari ini.

Sabtu lalu, penyokong demonstrasi Duduk Bantah, Bersih 3.0 cuba memasuki pekarangan Dataran Merdeka walaupun injunksi mahkamah dikeluarkan melarang mana-mana individu berada di kawasan itu bermula 27 April hingga 1 Mei.

Dalam perhimpunan berkenaan, 11 anggota polis dilaporkan tercedera dan empat kenderaan polis mengalami kerosakan.

Sementara itu, dalam kenyataannya Hishammuddin berkata, Jemaah Menteri telah membuat ketetapan dan memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik mana-mana individu mahupun kumpulan, sama ada penyokong atau pembangkang.

"Kami sebulat suara bersetuju bahawa kerajaan mesti mengambil segala langkah-langkah serta tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang telah melanggar undang-undang negara, merancang serta mencetuskan keadaan hura-hara," katanya.

Katanya, Jemaah Menteri telah mengarahkan proses siasatan serta pendakwaan oleh polis dan Peguam Negara dijalankan dengan kadar segera.

Dalam kenyataan itu juga, Jemaah Menteri merakamkan sokongan padu kepada Kementerian Dalam Negeri, polis dan pihak berkuasa lain dalam menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah menjaga ketenteraman awam dan menangani ancaman dalaman dan luaran.

"Kerajaan kesal dengan tindakan segelintir peserta perhimpunan yang merusuh dan mengganas sehingga mencederakan anggota polis serta merosakkan harta awam.

"Rusuhan Sabtu lalu merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah tanah air," katanya dalam kenyataan itu.