Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
KUALA LUMPUR - PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan tribunal bagi menyiasat Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mengisytiharkan status mereka sebagai ahli Umno

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bertentangan dengan peruntukan di bawah Fasal 2 dan Fasal (4A), Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.


Menurutnya, ia menyebabkan kebimbangan rakyat kerana boleh berlaku salah pertimbangan dalam menjalankan tugas.


“Saya lihat mereka gagal untuk memaklumkan status. Oleh itu pihak kerajaan harus melakukan siasatan terhadap mereka, setelah pendedahan dibuat barulah Timbalan Pengerusi mengaku.


“Bagaimanapun perkara sebalik terjadi terhadap Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang hanya berdiam diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, semalam.


Saifuddin berkata, pihaknya sudah menghantar surat berkenaan kepada Perdana Menteri untuk meminta kerajaan mengadakan tribunal.


Tambah beliau lagi, pengakuan tidak membayar yuran yang dibuat Tan Sri Aziz masih belum menjawab kaitan statusnya sebagai ahli kecuali beliau menghantar surat atau dipecat sebagai ahli Umno.


Mengikut Fasal 4A kelayakkan seorang Pengerusi SPR akan hilang selepas tiga bulan dilantik ke jawatan itu jika individu terbabit menjadi ahli lembaga pengarah, pengurusan, pegawai atau pekerja atau membabitkan diri dalam hal ehwal urusan mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusaha komersial atau pengusaha lain sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah untuk atau faedah daripadanya.