Bersih 3.0: Pas Pahang jumpa mufti
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
TEMERLOH - Pas Pahang akan bertemu Mufti Pahang bagi berbincang mengenai beberapa isu berikutan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang memutuskan perhimpunan Bersih 3.0 sebagai haram.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertemuan itu berikutan saranan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan bersedia berbincang dengan mana-mana pihak dalam soal fatwa.


Menurutnya, surat rasmi akan dihantar secepat mungkin bagi menemui Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan itu.


“Pas Pahang alu-alukan kesediaan mufti untuk berbincang dan cadangkan tarikh 21 Mei ini untuk pertemuan tersebut bagi menyahut saranan tuan mufti sendiri,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Harian Pas Pahang, di sini.


Beliau mengulas kenyataan Abdul Rahman yang disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini, yang menyarankan pembangkang datang berbincang jika tidak bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan.


Beliau berkata, setiap fatwa yang dikeluarkan berserta dengan dalil dan pihaknya bersedia berbincang dengan pembangkang mengenai fatwa demonstrasi membawa kepada kerosakan harta benda, kekecohan lebih-lebih lagi ia seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.


Dalam pada itu Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa ialah bagi sesuatu yang belum ada hukum.


“Sedangkan pemimpin Islam sedunia Dr Yusuf Al-Qardhawi sudah ada fatwa tentang perhimpunan untuk menuntut keadilan diharuskan dalam Islam.


“Jadi saya fikir tidak perlu ada fatwa lain, sebab setiap fatwa mestilah selaras. Kalau begitu kenapa tidak dikeluarkan fatwa tentang rampasan kuasa di Perak dulu yang melibatkan taktik begitu keji sekali?,” katanya.


Bagaimanapun Tuan Ibrahim tetap mengalu-alukan kesediaan Mufti Pahang untuk berbincang kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak langsung membuka ruang perbincangan sebelum mengeluarkan fatwa.


Pada 6 Mei lalu Muzakarah ke-99 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan mencetuskan huru-hara serta kekacauan dalam negara.


Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara 28 April lalu.


Sementara itu, Tuan Ibrahim berharap Majlis Fatwa melihat apakah hukumnya dan tindakan yang perlu diambil terhadap orang yang menghukum seorang Islam keluar daripada agamanya.


Beliau merujuk kepada isu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang menuduh Mursyirul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, sebagai ‘bapa segala kafir’.