Datuk Hussamuddin Yaacub
Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub
 
SHAH ALAM - Kerana mahu melihat dua parti politik Melayu/Islam duduk semeja, Sinar Harian secara rasmi menawarkan tempat kepada pemimpin dua parti itu bertemu.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, akhbar berkenaan mahu menjadi penggerak utama dalam agenda perdamaian dan perpaduan dua parti itu kerana pertentangan politik yang berlarutan boleh menjejaskan masa depan Islam dan bangsa Melayu di negara ini malah rantau Nusantara serta seluruh dunia.


"Walaupun menyedari muzakarah ini tidak mengarah kepada penyatuan antara dua parti politik itu, sekurangkurangnya pemimpin kedua-dua parti berlapang dada dan sanggup bersemuka.


Masa depan agama dan bangsa harus menjadi keutamaan mengatasi segala matlamat politik.


Sebagai akhbar yang telus dan tulus, kami menawarkan Sinar Harian menjadi premis kepada muzakarah antara Umno dan Pas," katanya.


Hussamuddin berkata, pihaknya sedar ramai pemimpin dua parti itu sebenarnya bersahabat secara peribadi dan tidak ada masalah bagi mereka untuk duduk bersama secara formal.


"Rakyat perlu merasai keakraban ini,” katanya yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf.


Kata Hussamuddin lagi, politik mestilah ada batasannya dan janganlah berpolitik sehingga umat Islam membenci sesama sendiri mahupun menjadi punca kepada putusnya persaudaraan.