Al-Arqam: Jais dakwa Badrulamin, 15 lain
5 November 2012
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan bahawa ahli
Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Badrulamin Baharon ada hubungan dengan
Al-Arqam, yang diharamkan pada 1994, dengan menghadiri Majlis Ulang
Tahun ke-12 Global Ikhwan Sdn Bhd sempena ulang tahun kelahiran ke-75
bekas pengasasnya, Ashaari Muhammad.
Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, Badrulamin ditahan, pada
Khamis lalu, kerana beliau disyaki menyokong dan membantu kumpulan
ajaran sesat al-Arqam dengan memunculkan diri pada majlis tersebut.
Menurutnya seramai 16 orang telah ditahan termasuk Badrulamin di bawah
Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, yang boleh
disabitkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya
sekali.
Laporan sebelum ini menyebut bekas pengikut kumpulan al-Arqam cuba
menghidupkan gerakan itu dengan berselindung di bawah nama Global
Ikhwan, satu rangkaian perniagaan.
Mereka ditahan dalam satu operasi malam Khamis lalu.Majlis Khamis dihadiri sekitar 3,500 orang.
Tambahnya, "kita telah mengambil keterangan daripada 16 orang yang
disyaki membantu dan menyokong kumpulan itu termasuk Badrulamin yang
kita telah ambil keterangan percakapan mereka yang direkod pada masa dan
hari yang sama.
"Setelah itu mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Kuang untuk sebutan kes
kali pertama dan dibon dengan Mahkamah Syariah, dan mahkamah memutuskan
semua orang disyaki dibebaskan dengan bon jaminan RM1,000 dengan seorang
penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan lanjut di mahkamah, 20
Disember nanti.
"Kita tahan mereka kerana disyaki menyokong dan membantu kumpulan
al-Arqam (yang telah diharamkan) dengan menghadiri program ulang tahun
Keputeraan Abuya ke-75 yang dikaburi dengan sambutan majlis sebuah
syarikat Al-Ikhwan," katanya kepada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, melalui risalah yang diedarkan yang
bertajuk "Abuya terus memimpin walaupun ghaib" telah menunjukkan
kesalahan dari segi syariah.
Katanya, tinjaun yang dilakukan pada 30 dan 31 Oktober lalu telah
mendapati wujudnya perkara-perkara yang dilarang dalam fatwa sebagaimana
terkandung dalam Fatwa Negeri Selangor yang dibuat pada 9 Ogos 1995.
Antara aktiviti-aktiviti sosial yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan
pegangan al-Arqam, wujudnya perbuatan mengadakan persembahan dan
kebudayaan yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan pegangannya, cara
ulang tahun Keputeraan Abuya Ke-75 dengan slogan "Abuya terus memimpin
walaupun ghaib", ada perbuatan mengedar buku, majalah, risalah yang
memaparkan wajah-wajah Abuya dan ajarannya serta tanda-tanda lain yang
dikaitkan al-Arqam.
Selain itu, dilihat ramai individu atau kumpulan-kumpulan yang memberi bantuan dan bekerjasama dengan kehadiran yang dipohon.
"Hasil daripada intipan dan risikan kita telah dapat tangkap seramai 16
orang dan kita biar mahkamah membuat keputusan terhadap mereka.
"Masyarakat patut dan boleh berfikir dengan risalah dan penerbitan yang
dikeluarkan berkaitan ajaran itu serta tindakan susulan akan diambil
terhadap syarikat yang menerbitkannya," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment