Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

BERANIKAH UMNO DO'A SUPAYA PAS HANCUR ?

PEMUDA ADA BERANI ?

AGM Umno: Hasrat Khairy
ARHIZA AHMAD dan jurugambar AZMI ARYANTO
27 November 2012
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 
PERHIMPUNAN Agung Umno ke-66, adalah landasan terbaik untuk memberikan semangat dan kekuatan kepada ahli menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Bagi Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, perhimpunan ini adalah bekalan semangat kepada para jentera dan ahli daripada panglima dan ketua sebelum bertempur dalam pilihan raya. Ikuti wawancara khas bersama wartawan Sinar Harian, ARHIZA AHMAD dan jurugambar AZMI ARYANTO yang menyingkap hasrat Khairy pada perhimpunan agung kali ini.

Apakah tumpuan Pemuda dalam perhimpunan kali ini?

KHAIRY: Keutamaan perhimpunan kali ini persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan memberi semangat kepada jentera yang terdiri ahli Umno sendiri.

Kita perlu menaikkan semangat mereka supaya apabila balik ke kawasan masing-masing, mereka dapat memberi tumpuan persiapan akhir sebelum pilihan raya. Kita akan menggunakan peluang ini untuk beri cadangan kepada kerajaan bagi pihak Pemuda. Seperti sepanjang tiga tahun ini, sebagai Ketua Pemuda, dalam ucapan dasar saya menggunakan peluang untuk beri cadangan kepada kerajaan mengenai perumahan, perniagaan, pendidikan atau cadangan berkaitan politik yang menjurus kebebasan.


Ketika ucapan dasar juga, saya beri cadangan kepada kerajaan mengenai perubahan dasar yang perlu dibuat untuk bantu generasi muda. Saya menganggap ucapan dasar itu satu pentas di mana saya boleh bawa suara orang muda diketengahkan dalam pentas yang penting.


Kita mahu gunakan peluang ini untuk buat perbandingan antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, apakah implikasi kepada orang muda sekiranya mereka memilih pembangkang pada pilihan raya akan datang dan apa yang mereka akan dapat jika mereka mengekalkan BN sebagai parti pemerintah. Adalah amat penting untuk kita terangkan akibat dan kebaikan yang berlaku terhadap kedua-dua senario tersebut.


Bagaimana BN hendak tawan golongan muda?

KHAIRY: Saya nampak dua perkara. Pertama penyediaan tawaran itu sendiri. Dulu banyak retorik, tetapi kini kita sedia dan laksanakan banyak program di bawah pendekatan politik khidmat bakti. Kita buat servis, selesaikan masalah orang muda pada karnival kerjaya, skim pendidikan, biasiswa, sukarelawan Pemuda BN, makmal Pemuda BN dan bermacam-macam lagi.

Saya nampak pendekatan kita telah membuahkan hasil. Kalau kita tengok pilihan raya kampus baru-baru ini di mana 18 daripada 20 kampus dikuasai majlis perwakilan pelajar yang prokerajaan ataupun BN. Kita nampak itu merupakan satu petanda baik. Walaupun pembangkang menawarkan untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bagi pendidikan percuma tetapi idea itu seolah-olah tidak mendapat sambutan, di mana golongan mahasiswa lebih yakin dengan pendekatan dibawa BN dan kerajaan.


Selain itu, saya nampak kerajaan telah membuat satu pendekatan khusus untuk generasi muda. Sebagai contoh melalui belanjawan yang dibentangkan dalam Bajet 2013 baru-baru ini.


Buat kali pertama kita lihat banyak komponen untuk orang muda daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), perumahan, rebet untuk telefon, peluang latihan, potongan untuk PTPTN dan pelbagai lagi. Bajet yang lepas ini betul-betul menyasarkan generasi muda bukanya hanya bajet umum untuk semua.


Saya anggap ini adalah kejayaan Pemuda Umno dan BN, kerana selama tiga tahun kita banyak bercakap perkara ini dan akhirnya kerajaan melihat pendekatan diamalkan Pemuda yang menyasarkan golongan muda dengan pelbagai program diimplementasikan pula dengan pendekatan arus perdana oleh kerajaan. Saya juga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana menyahut suara Pemuda yang mahu melihat golongan muda sebagai pencadang terpenting dalam perancangan dasar dan perbelanjaan kerajaan.


Adakah hudud akan dibahaskan dalam perhimpunan kali ini?

KHAIRY: Mungkin secara tidak langsung ia akan dibahaskan sebab komitmen Umno terhadap agama Islam amat konsisten sekali dan kami tegas. Kami bukan seperti parti yang bernama Islam tetapi pendekatan dan pendirian mereka berubah mengikut musim. Sekejap memperjuangkan hudud, sekejap lagi mendiamkan diri, tetapi sebenarnya kita tahu di dalam hati mereka lagi ada hasrat untuk melaksanakan hukum hudud. Bagi Umno kami tegas dan jelas, kami tidak pernah menolak hudud cuma dari segi perlaksanaannya.

Bagi kami Umno, keadaan pada masa kini masih lagi tidak mengizinkan. Kita masih lagi memerlukan masa untuk memberi pendidikan kepada rakyat terutamanya bukan Islam mengenai hudud dan keadaannya harus lah bersesuaian untuk memastikan hudud itu dapat dilaksanakan dengan adil di Malaysia.


Umno tegas dalam pendirian, kami tidak pernah tolak hudud, tetapi kami kata perlaksanaan itu belum sesuai untuk di buat, tetapi jika kita tengok Pas pendirian dia apa. Sejak dahulu lagi Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Aziz Nik Mat menyatakan ia bukan soal masa dan mahukan hudud dilaksanakan sekarang, tetapi apabila kita tengok puak (ardogan) dalam Pas yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka ini mengeluarkan kenyataan yang berbeza dari apa yang diperkatakan Menteri Besar Kelantan itu.


Dalam hal ini, bagi saya Pas menunjukkan kecelaruan fikiran mereka mengenai hudud, dalam perkara ini kita kena jelas dan tidak boleh celaru. Isu hudud ini kita tidak akan sentuh banyak sangat, cuma kita akan membuat perbandingan dengan parti Pas, di mana pendirian mereka berubah mengikut musim.


Muktamar Pas baru saja melabuhkan tirainya, adakah mereka dilihat lebih kuat?

KHAIRY: Saya lihat mereka semakin lemah. Saya nampak dua perkara yang menarik perhatian. Pertama, kemarahan umat Islam di Malaysia termasuk mereka yang berada di atas pagar dan ahli Umno, dengan sikap Pas yang mendoakan kehancuran Umno itu sendiri. Ramai yang tidak setuju dan merasa marah. Mereka rasa walaupun ada perbezaan politik jangan ada yang mendoakan kehancuran orang Islam. Mereka beranggap ia politik yang ekstrem, penyalahgunaan agama untuk matlamat politik.

Saya tengok pandangan di laman sosial juga ramai yang berada atas pagar tidak boleh terima, walaupun Pas keluar bermacam alasan, mendakwa mendoakan parti yang zalim. Bagi saya parti Umno parti politik dan ia dianggotai oleh manusia dan umat Islam dan bukan ia dianggotai oleh binatang. Jika mendoakan kehancuran Umno bermakna mendoakan kehancuran ahlinya juga. Parti politik itu mempunyai ahli, mana ada parti politik yang tidak mempunyai ahli. Ini adalah politik yang keterlaluan.


Kedua polemik mengenai Perdana Menteri oleh Pakatan Rakyat (PR), kita lihat Pas dan pakatan dilemahkan oleh muktamar baru-baru ini. Saya lihat Anwar kini dalam keadaan tidak selesa, di mana kali pertama akar umbi Pas jelas memperkatakan bahawa mereka tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana mereka berjaya menutup keresahan ahli-ahli Pas dengan persetujuan di peringkat pemimpin pakatan, di mana peringkat Presiden parti mereka bersetuju melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.


Bagaimanapun apabila perkara ini dibuka kepada akar umbi, lain pula jadinya. Dalam muktamar itu kita lihat semua ahli menyokong untuk melantik Presiden Pas, sebagai Perdana Menteri. Ini tamparan kepada Anwar dan secara tidak langsung melemahkan PR.


Malah apabila mereka gagal mengemukakan Kabinet bayangan ia sudah melemahkan. Permintaan rakyat yang ingin mengetahui siapa Perdana Menteri dan menteri gagal untuk memperjelaskan. Ini pula soal pokok berkaitan dengan jawatan Perdana Menteri mereka sudah bertelagah. Kini Pas pula mempersoalkan bilangan kerusi bagi menentukan siapa bakal untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.


Ini menimbulkan tidak ketentuan, rakyat dan pelabur tidak suka perkara sebegini, mereka mahukan kepastian. Berbanding dengan Umno kita jelas, sekiranya menang pilihan raya nanti, jawatan Perdana Menteri itu adalah Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi BN, ia kata sepakat semua parti yang bernaung bawah BN. Pas jika kita lihat jelas menolak Anwar, apa sebabnya kita tidak ketahui.


Adakah Muktamar Pas akan menjadi kayu pengukur Perhimpunan Umno kali ini?

KHAIRY: Kami tidak merujuk kepada Pas untuk menentukan perjalanan politik dalam Umno.

Bagi kami apa yang berlaku dalam Muktamar Pas kami beranggap isyarat kepada rakyat soal politik yang keterlaluan, soal tidak kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri, itu yang kami dapat gambaran daripada Pas.


Kami tidak rujuk kepada Muktamar Pas mengenai apa yang kami nak buat. Kami ada perancangan tersendiri dalam Umno, dan kami tidak pernah menggunakan agama secara keterlaluan untuk memancing undi mana-mana pihak, Pas yang selalu berbuat sedemikian menggunakan agama.


Bagi Umno kami komited dengan perjuangan agama, bangsa dan negara. Soal agama, kami tidak guna Islam keterlaluan untuk pancing undi.


Kami bangunkan Islam dengan cara kami sendiri, tengok daripada pendidikan Islam, kewangan Islam, kemudahan masjid, pembangunan menegak syiar Islam, paling konsisten berbanding Pas. Siapa yang membangun ekonomi dan perbankan Islam?


Adakah perbahasan perhimpunan kali ini sepanas Muktamar Pas ?

KHAIRY: Kami harap perwakilan membahas hujah yang membina berasakan kepada fakta. Kalau ada teguran atau kritikan secara berhemah, tidak lah kita mengamalkan politik yang keterlaluan seperti yang dilakukan oleh Pas dalam muktamar mereka.

Keutamaan perhimpunan ini adalah untuk memberi semangat dan kekuatan kepada ahli-ahli kita supaya dengan baki beberapa bulan sebelum pembubaran Parlimen, kami ada bekalan semangat untuk terus membuat kerja kempen. Daya rasa amat penting sekali jentera-jentera parti dibekalkan semangat daripada panglima, ketua-ketua sebelum pusingan terakhir memasuki pilihan raya.


Adakah Pemuda akan membawa usul serangan terhadap Gaza ?

KHAIRY: Kita akan membawanya dalam persidangan, kita gesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bangun kerana negara-negara OIC kebanyakan menguasai sumber asli dunia seperti gas dan minyak. Malah kita juga penganut yang teramai di dunia, tetapi kita masih lagi tidak mempunyai kuasa, disebab beberapa pemimpin Islam di negara lain yang lemah masih tunduk lagi kepada Amerika Syarikat. Ini kita kena ubah dan bawa satu lembaran baru dalam arena politik dunia.

Bukan kita nak mengancam dan jangan salah faham. Pemuda Umno bukan menggalakkan peperangan, tetapi negara Islam perlu bersatu, kita kena tunjuk kuasa kita, supaya tiada negara seperti Israel boleh membuli mana-mana negara Islam.


Perlu kita memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat?

KHAIRY: Boleh boikot, tetapi kita kena jelas sama ada produk itu datang daripada Israel atau menyumbang kepada perjuangan Zionis. Saya tengok senarai boikot ini saya keliru juga kerana buktinya tidak beberapa kukuh, bila kita boikot kita boleh merugikan ekonomi tempatan juga.

Kalau tiada bukti atau fakta yang kukuh mengenai sebuah syarikat, nampak bahaya untuk kita boikot kerana syarikat itu mempunyai pekerja yang terdiri daripada rakyat negara ini dan ini boleh memberi kesan kepada rakyat dan negara dalam sektor ekonomi tempatan.


Kita kena tahu bukan senang hendak pisahkan sesuatu produk dengan mendakwa ia produk Israel, banyak mikrocip yang ada dalam telefon, komputer yang datang daripada Israel. Adakah kita akan berhenti pakai telefon dan komputer? Ini tidak masuk akal. Dalam era globalisasi ia dipasang dalam satu negara tetapi komponennya dari pelbagai negara, termasuk Israel. Boikot itu secara dasar itu saya sokong, tetapi kita kena berpijak bumi yang nyata juga.


Apa harapan dalam perhimpunan kali ini?

KHAIRY: Harapan saya, perwakilan dan ahli perlu memperkuatkan semangat dan berada dalam keadaan bersiap sedia di tahap yang paling tinggi, dan kita dapat hantar mesej kepada pengundi di luar termasuk kepada ahli bahawa Umno dan BN tetap pilihan yang terbaik dalam pilihan raya akan datang.

Perkara ini perlu datang dengan hujah nyata. Kita perlu mengisikan mesej itu dengan hujah sebab ini rancangan kita, ini yang kita hendak buat. Berikan perbandingan yang jelas antara Umno dan pembangkang, agar mereka tahu sekiranya memilih Umno ini yang mereka dapat, sekiranya mereka memilih pembangkang apa pula yang mereka peroleh.


Guna perhimpunan ini sebagai satu peluang untuk kita menghidangkan apa yang kita hendak bagi dalam pilihan raya akan datang dan ia juga sebagai gambaran kepada manifesto kita yang akan datang.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.