Tanah runtuh, kuarters polis IPD Gombak terjejas
3 November 2012
[DIKEMAS KINI] SELAYANG - Puluhan keluarga pegawai dan
anggota polis di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak
dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh kira-kira jam 7 malam selepas
hujan lebat melanda Lembah Kelang sejak petang tadi.
Akibat kejadian itu, tiga kereta yang diletakkan berhampiran kuarters
itu rosak selepas ditimpa batu yang jatuh berikutan runtuhan tebing itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan berkata,
siasatan awal bomba mendapat kondisi tanah berada di tahap kritikal
dibimbangi berlaku pergerakan tanah sekiranya hujan berterusan.
Menurutnya, sebagai langkah awal keselamatan dan pengawasan, seramai
150 orang daripada 32 keluarga yang tinggal di blok F1 diarahkan
meninggalkan kediaman serta berkumpul di dewan.
“Hujan berterusan bermula jam 4 hingga 6 petang dipercayai antara punca
berlakunya rekahan tanah dan kejadian ini adalah insiden pertama
berlaku sejak kuarters berkenaan diduduki 2002.
“Keluarga yang dipindahkan itu tidak dibenarkan memasuki blok bagi
tujuan keselamatan sehingga pengesahan kondisi tanah diputuskan agensi
berkaitan,” katanya sewaktu meninjau runtuhan tebing.
Katanya, jarak runtuhan tebing dengan blok F1 yang didiami 32 keluarga itu cuma adalah 1.2 meter sahaja.
Beliau berkata, hanya penduduk satu blok itu diarahkan keluar dan
pihaknya masih menunggu laporan terperinci daripada pihak Jabatan Kerja
Raya dan Majlis Perbandaran Selayang.
Seorang penduduk ditemui, Aida Ninggal, 50, berkata, ketika kejadian dia bersama suami keluar membeli kelengkapan dapur.
“Saya menerima panggilan telefon dari anak perempuan sekitar jam 7
malam memaklumkan berlaku runtuhan tebing berhampiran rumah dan
terdengar siren kecemasan.
“Saya bersyukur tiada apa-apa kejadian buruk berlaku ke atas anak yang
ketika itu tinggal bersendirian dan sedang tidur,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nor Shamsiah Ibrahim, 49 berkata, ketika kejadian
dia bersama suami dan lima anaknya berada di rumah sedang menonton
televisyen.
“Saya yang tinggal di tingkat satu terkejut mendengar dentuman kuat ingatkan kemalangan.
“Namun apabila meninjau di luar tingkap mendapati bongkah batu dari
tembok pengadang runtuh dan menghempap tiga kereta yang salah satunya
rosak teruk,” katanya yang baru menduduki tersebut dua tahun lalu.
0 orang berkata:
Post a Comment