1 November, 2013
Polis Tidak Bertanggungjawab Siasat Pertuduhan Salah Laku Peguam Negara Kata Ketua Polis Negara
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bukan tanggungjawab
polis mengendalikan pertuduhan salah laku Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail.
Katanya, pertuduhan berhubung penyalahgunaan kuasa mesti dirujuk kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan satu
siasatan dijalankan.
“Ini bukan tanggungjawab polis. Anda harus bertanya kepada SPRM,”
katanya sebelum menyampaikan syarahan bertajuk “Polisi Masa Hadapan” di
Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.
Apabila ditanya pertuduhan yang dilakukan oleh Abdul Gani, Khalid
berkata dakwaan tersebut berkait dengan beberapa kes yang telah lama
selesai termasuk pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.
“Ia telah diulang lagi dan lagi. Apa lagi yang mereka mahu?
“Segalanya pasti mempunyai had. Anda tidak boleh mempolitikkan semua perkara dan membuat orang ramai keliru,” katanya.
Minggu lalu, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata Abdul
Gani patut disiasat atas pertuduhan salah lakunya sementara Pengerusi
DAP Karpal Singh berkata Abdul Gani akan mengalu-alukan siasatan
tersebut bagi membersihkan namanya.
Ia berikutan laporan bekas Pengarah Ketua Cawangan Siasatan Jenayah
Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan Tan Sri Muhammad
Shafee Abdullah yang menemui mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad pada Ogos bagi membincangkan pertuduhan salah laku Abdul Gani.
Turut hadir dalam pertemuan itu bekas setiausaha politik kepada Dr
Mahathir, Matthias Chang, dan bekas Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah
Perdagangan Datuk Ramli Yusof.
Ramli berkata perjumpaan itu menyentuh berhubung tuduhan salah laku
Abdul Gani seperti pemalsuan bukti kes melibatkan mata lebam Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berhubung dakwaan Abdul Gani mengupah dua agen risikan CIA di pejabatnya
dan sama ada polis melakukan siasatan, Khalid berkata “beliau tidak
tahu tentang hal itu”.
Katanya Abdul Gani yang perlu menjawab dakwaan tersebut.
Dalam pertuduhan baru-baru ini di mana syarikat perladangan dan
pembalakan dari Melikin, Serian, Sarawak mengupah gengster bagi
mengancam tuan tanah dan polis tidak mengambil tindakan, Khalid
menafikan polis tidak mengambil tindakan.
Beliau mengesahkan ada pertelingkahan dan dua orang telah ditahan berhubung insiden itu.
“Kami telah menyiasat kes itu dan mendapati tiada unsur gangsterisme.
Namun kami masih memantau mereka. Polis akan mengambil tindakan yang
adil kepada semua pihak,” katanya.
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing memberitahu
The Malaysian Insider bahawa ancaman kepada pemilik tanah Hak Adat Orang
Asal (NCR) di Serian menjadikannya mahu membawa perkara itu kepada
Bukit Aman dan SPRM bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Masing mendakwa tiada tindakan daripada pihak polis dan itu membimbangkan beliau.
Pemilik tanah NCR mendakwa dua syarikat yang beroperasi di sana telah menceroboh tanah mereka.
Portal berita Sarawak Report mendakwa dua syarikat itu adalah United
Teamtrade Sdn Bhd dan Memaju Jaya Sdn Bhd yang telah mendapat lesen di
kawasan NCR.
Portal itu turut mendakwa syarikat tersebut mempunyai pertalian kuat dengan ahli politik Barisan Nasional di Sarawak. ~tmi



1 orang berkata:
mahathir sudah putar alam...hari ni dia ckp hanya mendengar dan tak ada bukti....apapon mahathir kena dedahkan sumber ini pada umum kerana ini kes besar...jika tidak mahathirlah akan dituduh sbg agen cia....dedahkan siapa sumber mahathir...kes ini harus disiasat
Post a Comment