13 November, 2013
Nurul Izzah Bongkar Rahsia Polis
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan
Kerajaan BN menempatkan 30 anggota polis cawangan khas di London,
England.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kos menempatkan kontinjen
tersebut di London dibiayai oleh dana awam sedangkan setahu beliau,
tiada ancaman keselamatan dalaman pada Malaysia yang berasal dari negara
Eropah itu.
“Bukankah lebih baik sekiranya anggota-anggota cawangan khas tersebut
digunakan untuk membuat rondaan di kawasan perumahan di Malaysia,” kata
Nurul Izzah, dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian pada forum mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Bangsar, Kuala Lumpur malam tadi.
Katanya, beliau mendapat tahu tentang saiz kontinjen di London itu
selepas meneliti laporan Rancangan Malaysia ke-10, laporan bajet tahunan
dan jawapan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri di dalam Dewan
Rakyat.
Nurul Izzah berkata, kontijen London itu merupakan satu lagi contoh
pentadbiran Barisan Nasional gagal menggunakan sumber manusia pasukan
keselamatan secara efektif bagi menangani jenayah.
Ini kerana, katanya, tugas utama polis yang ditempatkan dalam cawangan
khas adalah untuk melakukan intipan terhadap ahli politik Pakatan
Rakyat.
“Pada 1954, untuk memerangi Komunis, kita ada 459 polis cawangan khas.
Sekarang kita ada 8,200 anggota cawangan khas. Maksudnya kita ada lebih
ramai polis cawangan khas sekarang berbanding zaman darurat.
“Jumlah anggota cawagan khas juga bertambah semasa Najib jadi Perdana
Menteri. Pada 2008 kita mempunyai 5,000 anggota cawangan khas. Jumlah
itu bertambah sebanyak 3,000 semasa pentadbiran Najib,” kata Nurul
Izzah.
Beliau berkata, kes jenayah yang bertambah dapat diselesaikan sekiranya
anggota cawangan khas ditukarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID).
Katanya, tahun lalu, cawangan khas menghasilkan 830,000 laporan intipan
dan kebanyakannya tentang ahli politik Pakatan, berbanding dengan CID
yang menyelesaikan 60,000 kes jenayah.
“Mengapa mereka tidak boleh diletakkan ke dalam CID supaya kita boleh meningkatkan kadar siasatan jenayah,” kata Nurul Izzah. ~kd



0 orang berkata:
Post a Comment