• karpal-singh  
  • Karpal Singh
1 / 1
SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan dakwaan yang melibatkan Pengerusi parti itu, Karpal Singh membatalkan pendaftaran Pas.

Dalam satu kenyataan semalam, Kit Siang memaklumkan, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Karpal mengenai dakwaan tersebut.

“Saya telah bercakap dengan Karpal dan beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak langsung menyeru supaya pendaftaran Pas dibatalkan,” katanya.

Semalam, beberapa pimpinan Pas tampil membidas kenyataan Karpal yang mencadangkan parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Turut terbuka membidas termasuk, Pemuda Pas Selangor yang mendesak agar Karpal menarik balik kenyataan yang disifatkan biadab itu.

Mengulas perkara sama, Kit Siang menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan merosakkan kesepaduan PR.

“Semua orang mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan PR.

“Terbaru ialah dakwaan bahawa Karpal  mahu pendaftaran Pas dibatalkan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Kit Siang mendakwa kritikan Karpal adalah terhadap Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

“Beliau (Karpal) mengkritik PPMM kerana mengugut Majlis Peguam lantaran sokongan yang diberikan badan tersebut terhadap akhbar mingguan Katolik, Herald.

“...sambil menekankan bahawa demi kepentingan perpaduan nasional, badan-badan politik atau profesional tidak wajar beroperasi dalam kerangka perkauman atau keagamaan,” dakwanya.

Tambahnya, retorik perkauman menjadi kerisauan dan tidak boleh dibiarkan. “...kian bertambah runsing dengan melonjaknya kadar retorik perkauman, kurangnya toleransi agama serta kebencian di negara ini.

"Kerisauan sebegini tidak wajar dibiar terpinggir dan diputarbelitkan dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas.

“Rakyat perlu kekal fokus mereka menuntut supaya segala retorik perkauman dan agama ini kian berkurang kerana jelas berlawanan dengan nilai wasatiyah dan inklusif yang dirangkum oleh Perdana Menteri.