• muktamar pas
1 / 1
SHAH ALAM - Mohamad Sabu dilihat mempunyai kelebihan untuk mempertahankan jawatannya selaku Timbalan Presiden Pas pada pemilihan parti bagi sesi 2013-2015.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Mohamad atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu mampu mengekalkan jawatan itu lebih menonjol dan aktif di peringkat nasional.


“Perkara ini yang saya nampak beri kelebihan pada diri beliau kerana beliau lebih arif dengan isu dan masalah yang membabitkan negara," katanya, semalam.


Katanya, dari sudut populariti beliau lebih terkedepan dan dekat di hati para penyokong Pas berbanding pesaingnya.


“Beliau popular dengan pelbagai himpunan. Contohnya Himpunan Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Ini antara kewibawaan yang ada pada beliau,” katanya.


Selain itu, ketika ditanya berkenaan kemungkinan Mohamad akan memperoleh kemenangan besar apabila pertandingan ini berlangsung secara dua penjuru, Nik Ahmad berkata, pencabarnya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak akan beri laluan mudah kepada beliau.


"Ini pastinya satu persaingan sengit dan Mat Sabu sukar untuk menang mudah, tetapi beliau masih ada peluang," katanya.


Difahamkan, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden berkemungkinan akan berlaku antara Mohamad menentang Mohd Amar, ini setelah calon-calon lain menarik diri.


Pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel),  Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, Pas tidak akan menyentuh isu kegagalan PR untuk menguasai Putrajaya dalam PRU13 lalu pada muktamar kali ini.


Menurutnya, Pas hanya akan membincang isu-isu berkaitan cabaran pilihan raya akan datang sahaja.


“Saya tidak nampak isu itu akan diketengahkan dalam Muktamar Pas nanti, sebab isu itu sudah lepas. Isu-isu lama tidak mungkin menjadi topik utama yang dibincangkan.


“Lagipun mereka tahu, pada PRU13 lalu mereka sudah berusaha keras dan bersungguh-sungguh.


Kegagalan tersebut bukan disebabkan kesilapan mereka, mungkin pendekatan Umno dan BN lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat pertemuan ahli Pas di semua peringkat kali ini lebih menjuruskan kepada perbincangan bagi memantapkan parti itu untuk jangka masa panjang.


“Pengisian Muktamar Pas kali ini lebih ke hadapan, kemungkinan mereka membuat perancangan rapi dan sistematik dalam usaha mengukuhkan parti.


“Membincangkan bagaimana meningkatkan sokongan Melayu selain program memperkasakan ahli semua peringkat,” katanya.