• PRK Dun Sg. Limau
1 / 1
YAN - Hanya kerana wang RM100, seorang ahli Pas di Dun Sungai Limau telah diperalatkan oleh ahli Umno apabila diminta menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dalam satu majlis, dekat sini, malam tadi.

Pesuruhjaya Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menerima aduan tersebut menyifatkan, taktik kotor yang diguna pakai Umno sebelum hari pengundian esok membuktikan parti itu mempunyai moral pekerti yang rendah, semata-mata untuk meraih simpati pengundi di kawasan tersebut.


"Baru sekarang Umno teringat 'skrip' lama itu dan mereka gunakan pelbagai taktik termasuk umumkan ahli Pas masuk Umno pada hari terakhir berkempen, malam tadi.


"Sungguh murah (nilainya) kalau hendak jadi ahli Umno dengan menawarkan wang RM100.


"Kita beritahu ahli Pas supaya jangan menolak pemberian itu, boleh ambil (imbuhan) tetapi kena kekalkan undi dan sokongan kepada Pas esok hari," katanya kepada pemberita di Markas Induk Pas Parlimen Jerai, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas lanjut berhubung 351 orang termasuk anggota dan penyokong Pas dari lima cawangan dekat sini menyertai Umno kerana percaya parti itu mampu membawa perubahan kepada penduduk di kawasan ini.


Borang keahlian mereka diserahkan wakil setiap cawangan dari Kampung Permatang Keramat, Kampung Klinik, Kampung Sungai Limau Dalam, Kampung Titi Simen dan Kampung Tok Rama kepada Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Kampung Kabu 10, dekat sini, malam tadi.


Sementara itu, salah seorang ahli Pas yang turut menyertai Umno secara beramai-ramai, Ismail Said, 53, mendakwa beliau diperalatkan dan hanya menerima wang 'imbuhan' selepas beliau menyerahkan borang keahlian Umno kepada Jamil Khir, di luar majlis tersebut.


Katanya, pada mula beliau tidak mencurigai apa-apa dengan pemberian wang tersebut selepas diminta mengisi borang sebelum layak menerima insentif itu.


"Saya tidak tahu menahu wang itu, kawan saya minta saya isi nama kemudian pergi ke Sungai Limau untuk ambil duit itu," dakwanya.


Ketika ditanya pemberita tindakan susulan selepas diperalatkan, beliau tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan tegas termasuk melaporkan kepada pihak polis dan perundangan.


Ismail menegaskan sokongan dan undi beliau terhadap Pas tidak akan berubah sejak menyertai parti politik itu seawal 20-an usianya.