• Datuk Mohd Amar Nik Abdullah  
  • Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
1 / 1
SHAH ALAM - Menjelang Muktamar Pas kali ke-59, persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden semakin hangat, di kesempatan itu, Sinar Harian Online telah mengadakan bancian untuk melihat siapa yang menjadi pilihan pembaca  tatkala menjelangnya muktamar itu nanti.

Bancian yang dimulakan pada Ahad lalu menunjukkan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjadi pilihan pembaca Sinar untuk memegang jawatan Timbalan Presiden Pas.

Beliau memperolehi 673 undi (58%), sementara Mohamad Sabu (penyandang) hanya mendapat 488 undi (42%) daripada jumlah undian keseluruhan sebanyak 1,161 setakat berita ini ditulis.

Sementara untuk jawatan Naib Presiden Pas pula, Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa (penyandang), Salahuddin Ayub (penyandang) menjadi pilihan pembaca Sinar.

Tuan Ibrahim memperolehi 476 undi (32%), diekori rapat Husam yang memperolehi 421 undi (28%), manakala Salahuddin memperolehi 287 undi (19%), sementara Datuk Mahfuz Omar (penyandang) hanya mendapat 206 undi (14%) dan Abu Bakar Chik di kedudukan terakhir iaitu hanya mendapat 99 undi (7%) daripada jumlah undian keseluruhan sebanyak 1,489 setakat berita ini ditulis.

Bancian ini akan berakhir pada hari Khamis ini dan untuk makluman selepas berakhirnya bancian ini, Sinar Harian Online akan meneruskan bancian untuk melihat siapa pilihan pembaca untuk memegang jawatan Ketua Pemuda Pas, serta Ketua Muslimah Pas.

Muktamar Pas akan berlangsung pada 22 November ini.

Mengulas mengenai hasil bancian ini, pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat beliau sudah bersetuju dengan calon-calon yang bertanding dan dengan itu beliau enggan membuat sebarang komen.

“Saya sudah bersetuju dengan calon yang bertanding, jadi hasil bancian ini saya tidak mahu membuat sebarang ulasan.

“...tetapi bagi saya Tuan Ibrahim Tuan Man perlu berada dalam senara pilihan jawatan Naib Presiden,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.