• Jawatan Azmin masih sah Abdul Khalid (kanan) ketika menjawab soalan panel dalam Pendengaran Awam Selcat, semalam.
1 / 1
SHAH ALAM - Kedudukan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) masih sah tetapi digantung sehingga siasatan selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjangkakan siasatan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Kushrin Munawi akan selesai dalam tempoh dua bulan dari Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau tiada kuasa untuk menentukan isu berkenaan selesai pada tarikh ditetapkan kerana ia bergantung kepada perjalanan siasatan.

“Saya tiada kuasa untuk percepatkan siasatan itu kerana saya tidak dibenarkan langsung mencampuri proses siasatan.

“Jadi, kita serahkan kepada mereka yang bertanggungjawab jalankan siasatan dan keputusannya itu nanti terpulang kepada hasil siasatan,” katanya ketika menjawab persoalan yang dilontarkan ahli panel dalam Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas

Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), di Dewan Annex, semalam.

Antara ahli panel yang terlibat adalah Adun Sekinchan, Ng Suee Lim; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Hulu Kelang, Saari Sungib; Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Abdul Khalid dalam pada itu sekali lagi menegaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak pernah memutuskan penyingkiran Azmin dalam PKNS.

Jelasnya, beliau juga tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bekas Pengurus Besar,  Datuk Othman Omar mengeluarkan surat rasmi kepada Azmin.

Dalam mesyuarat tersebut ada memutuskan pelantikan Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim menggantikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad kekal bagaimanapun status Azmin tidak dibincangkan.

Othman pada 8 Januari lalu mengeluarkan surat memaklumkan penamatan kontrak Adun Bukit Antarabangsa itu bagaimanapun selepas itu menteri besar menafikan mengeluarkan arahan berkenaan.

Abdul Khalid berkata, PKNS tidak merujuk pihaknya sebelum mengemukakan surat penamatan kontrak kepada Azmin bagaimanapun mengesahkan ada menerima surat pelantikan Chang Khim untuk ditandatangani.