• Laporan Sinar Harian 18 Julai lalu. Laporan Sinar Harian 18 Julai lalu.
1 / 1
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menerima sebarang surat permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sebaliknya hanya surat permohonan untuk memberi penjelasan dikemukakan pemimpin itu.

Baginda bagaimanapun belum menetapkan sebarang tarikh terima menghadap permohonan itu

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, surat yang dikirimkan Khalid telah dipersembahkan kepada Tuanku pada Jumaat lalu, untuk menjelaskan berhubung kenyataannya berkaitan isu Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin memberi reaksi bahawa seluruh dunia sudah maklum dengan maksud kenyataan Khalid yang mencadangkan supaya kuasa eksekutif Mais dihapuskan.

Justeru itu katanya, Tuanku menitahkan Khalid perjelaskan kepada seluruh masyarakat bukan kepada baginda seorang sahaja.

“Selepas sahaja Tuanku membaca surat yang dipersembahkan, apa reaksi yang perlu dijelaskan lagi? Semua sudah jelas.

“Elok terangkan kepada masyarakat..., jelas kepada Sultan seorang sahaja untuk apa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya tarikh pertemuan Khalid dengan Sultan Sharafuddin, Mohamad Munir berkata, buat masa ini baginda sibuk dan tidak ada kelapangan untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Khalid pada 17 Jun lalu yang mencadangkan kuasa Mais dihapuskan telah mengundang pelbagai spekulasi dan kontroversi kerana dikatakan mencabar institusi raja serta menidakkan kuasa agensi agama berkenaan.

Susulan kenyataan itu, 16 Julai lalu, Sultan Sharafuddin menyuarakan kemurkaan baginda terhadap ahli parlimen itu.

Kemudian, bermulalah episod Khalid didakwa menderhaka sehingga timbul desakan bertubi-tubi agar beliau meminta maaf secara terbuka sebelum menghadap Sultan Sharafuddin.

17 Jun lalu, Khalid di hadapan media menyatakan rasa terkejutnya dengan kemurkaan yang dizahirkan Sultan Sharafuddin. Sambil meminta ampun beliau menyatakan satu surat penjelasan telah dikemukakan kepada baginda sultan untuk mohon menghadap.