• Beberapa Pemuda Pas yang dilaporkan keluar dewan sewaktu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pemuda Pas di Kota Tinggi, kelmarin.

Beberapa Pemuda Pas yang dilaporkan keluar dewan sewaktu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pemuda Pas di Kota Tinggi, kelmarin.
1 / 1
BATU PAHAT - Perwakilan Pas Kuala Krai, Zulkifli Yacob menegur tindakan beberapa Pemuda Pas yang dilaporkan keluar dewan sewaktu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pemuda Pas di Kota Tinggi, kelmarin.

Menurutnya, perkara itu perlu disiasat Lembaga Pemerkasaan Pas untuk tindakan sewajarnya.

"Jangan kerana satu benda yang sedikit, sampai bangun meninggalkan dewan apabila timbalan presiden berucap. Satu jawatankuasa perlu diwujudkan untuk membuat siasatan sama ada berlaku sabotaj sewaktu beliau berucap.

"Kalau benar berlaku, kena ambil tindakan. Walaupun ada yang kata keluar nak ambil wuduk, nak pergi solat. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Pas," katanya ketika membahaskan Laporan Tahunan Pas 2013/2014, di sini, hari ini.

Tegasnya, kesemua ahli tidak sewajarnya menolak golongan tertentu ekoran pemimpin-pemimpin tersebut telah dipilih melalui pemilihan parti, tahun lalu.

"Yang di atas semua pimpinan kita. Dari presiden, timbalan presiden, naib presiden, semua kita kena hormat. Sama ada dia ulama ke profesional ke, tak kira. Kerana mereka yang kita pilih dalam pemilihan tahun lepas. Jangan kita menolak sesetengah golongan.

"Mat Sabu Timbalan Presiden kita, pemimpin kita. Kita kena hormat. Kena ingat, jangan sedikit kesilapan yang dilakukan oleh beliau, kita lupa jasa beliau yang terlalu banyak.

"Saya tak ada kepentingan pun dengan dia. Nak pergi dengar ceramah pun susah, tetapi atas dasar dia sebagai pemimpin kita. Perkara seperti ini perlu kita buang dalam kalangan ahli-ahli kita," katanya.

Sebelum itu, beliau menyentuh soal perpecahan dalaman yang jelas kelihatan tanpa dapat disorok lagi.

"Saya melihat perkembangan mutakhir ini, keadaan dalam Pas berada dalam suasana yang membimbangkan. Mahu tak mahu, itu yang berlaku. Perpecahan dalaman yang tidak boleh disembunyikan lagi dalam kalangan kita dan pimpinan-pimpinan di atas juga ahli parti yang berada di bawah.

"Apakah badan pemerkasaan parti kita menyedari perkara ini? Apakah peranan yang telah dibuat bagi mengembalikan semula tautan hati dalam kalangan kita.

"Memperkasakan semula parti kita supaya dilihat Pas teguh dan kuat. Mampu menghadapi dengan cabaran di depan kita, BN. Bukan bertembung antara satu sama lain. Hentam menghentam antara satu sama lain," katanya.

Beliau turut mempertikaikan soal usul menyatakan sokongan kepada presiden yang disifatkan tidak perlu.

"Jangan ada yang cuba menjatuhkan presiden. Saya nak tengok hari ini, dalam kalangan kita, siapa yang berhasrat untuk menjatuhkan presiden? Bangun. Ada ke tak ada?...Tak ada? Yang hang kalut itu buat apa?

"Kenapa sampai buat usul? Kenapa sampai tulis di belakang (baju) 'kami menyokong presiden? Kami sokong MSU (Majlis Syura Ulama)? Sokongan kita bukan tulisan. Pelaksanaan kita, tak perlu tulis di belakang. Kita memang sokong presiden. Berlainan pandangan bukan bererti kita menentang presiden," katanya.