1 /
SHAH ALAM – DAP, PKR mahupun Pas tidak akan mendapat sebarang kelebihan jika membiarkan kemelut penggantian Menteri Besar Selangor berlarutan, malah kesemua parti dalam komponen PR itu akan rugi.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, selagi krisis menteri besar tidak selesai, ia akan melarat hingga membawa kepada pembubaran Dun dan membabitkan pilihan raya negeri.

“Itulah penentu siapa yang mendapat sokongan majoriti sama ada PR atau BN. Jika BN diberi mandat semula, PR akan hilang satu negeri di bawah taklukan mereka,” katanya, semalam.

Beliau menolak spekulasi bahawa DAP mendapat kelebihan melalui pendekatan tunggu dan lihat yang dipraktikkan mereka sepanjang krisis berlaku.

“DAP tidak berupaya menguasai negeri secara bersendirian tanpa PR, bahkan mereka tidak cukup kuasa untuk hapuskan Melayu dan Islam di negara ini.

“Perpecahan itu dah jadi retorik, kalau bukan Melayu ambil kesempatan juga retorik,” katanya.

Beliau turut berpendapat konflik yang berlaku di Selangor ini telah merugikan rakyat kerana banyak isu yang membabitkan kepentingan bersama terbengkalai.

Dalam masa sama, beliau turut membidas tindakan PKR dan DAP yang mencabar titah Sultan Sharafuddin Idris Shah kononnya senarai calon tidak termaktub dalam Undang-undang Tubuh.

"Tindakan ini biadab. Mereka kena faham dalam konteks negeri, sultan berkuasa dari segi pengaruhnya. Senario sultan tidak sama Agong kerana dalam konsep Raja Berperlembagaan, Agong dilantik ikut giliran tetapi sultan mewarisi daripada keturunan,” tegasnya.