• Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
ALOR SETAR - Desas-desus mengatakan Pas berpecah dua apabila wujud parti serpihan dianggotai ahli yang dikatakan kecewa terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) terjawab, apabila disahkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-PR.

Pasma yang kebelakangan ini disebut-sebut bakal menggantikan Pas dalam PR, dan didakwa dianggotai golongan Anwarinas didaftarkan 10 Ogos lalu, di Kedah sebagai NGO yang memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.

Presidennya, yang juga Adun Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, Pasma berperanan sebagai platform kepada pemimpin PR untuk membincangkan isu-isu politik.
“Pasma ditubuhkan bukan untuk gantikan Pas, itu sekadar andaian pihak luar. Namun jika perbincangan antara pemimpin PR pada masa akan datang menjurus kepada itu, terpulang. Bukan bidang kuasa Pasma untuk bincang aspek itu kerana ia bawah kuasa pemimpin utama PR.

“Jika dalam parti, perbincangan agak terbatas, sebab tertakluk pada peraturan. Pasma memberi ruang untuk bincang isu politik untuk manfaat PR agar terus relevan dalam masyarakat dan jadi parti alternatif terbaik,” katanya.

Phahrolrazi yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah menegaskan, Pasma tidak akan bertukar menjadi parti politik kerana ia didaftar di bawah NGO, dan sekiranya mahu diubah status, ia perlu didaftar bawah entiti berbeza.

“Kita hanya bergerak atas isu-isu politik kerana itu keutamaan kami. Namun objektif bukan untuk bertanding dalam pilihan raya. Objektif kami untuk wujudkan politik sihat dan demokrasi,” katanya.

Beliau juga bersedia berdepan pelbagai tohmahan dan kritikan ekoran menubuhkan NGO itu di saat PR berdepan saat getir gara-gara isu pemilihan Menteri Besar Selangor.

“Pasma diwujudkan pada waktu yang sesuai, kerana sekarang wujud pergeseran yang jelas dalam PR terutama isu MB Selangor di mana jelas perbezaan pendapat antara Pas, DAP dan PKR. Pasma berhasrat sediakan platform untuk diadakan perbincangan antara pemimpin PR dalam isu penting,” katanya.

Phahrolrazi turut menafikan Pasma dianggotai golongan Anwarinas dalam Pas, atau mereka yang tidak suka kepada kepimpinan konservatif Abdul Hadi, dan menyifatkan ia sekadar tuduhan liar.

“Pasma ditubuhkan bukan atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermakna tiada kaitan dengan PKR. Cetusan menubuhkan NGO ini adalah daripada beberapa orang pemikir termasuk saya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, keahlian mencecah 50 orang dan terbuka kepada umum selain mengalu-alukan penyertaan golongan pemikir.

Phahrolrazi turut akur apabila Pasma terpalit dengan pelbagai tohmahan termasuk mengaitkan pertubuhan itu dengan usaha menggantikan Pas dan kempen menjatuhkan Abdul Hadi, serta digelar parti serpihan Pas gara-gara ditubuhkan ketika saat getir PR, namun beliau tetap pertahan perjuangan asal pertubuhan yang diasaskannya itu.

“Mereka yang menjadi ahli Pasma masih ahli Pas. Kami tidak keluar parti jadi tak timbul soal parti baharu,” katanya yang  sedia dikritik kerana menubuhkan NGO ini.
Sebelum ini  beliau mencetuskan kontroversi dalam Pas Kedah berikutan krisis Exco bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Saya seorang ahli politik yang dinamik. Apa sahaja tafsiran negatif saya bersedia terima. Saya  tak kisah apa orang nak kata,” katanya.

Ditanya sama ada NGO itu dimaklumkan kepada Pas Pusat,  beliau berkata, ia bukan keperluan kerana peranan mereka tidak bertindih.

“Tak perlu kerana ia di luar kerangka parti. Saya tak maklum secara rasmi tetapi Pusat maklum tentang NGO ini. Ini kerana kami jemput pemimpin-pemimpin pusat dalam program Pasma,” katanya.