PUTRAJAYA - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) perlu membuat permohonan pendaftaran baharu sebagai pertubuhan politik sebelum ia boleh bergerak secara sah dalam bidang itu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Mohammad Razin Abdullah, langkah itu adalah selaras dengan Akta Pertubuhan 1966.
 

Beliau berkata, persatuan itu telah berdaftar dengan JPPM di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) pada 11 Ogos 2014.
  
"Namun sekiranya ia berhasrat, mempunyai niat atau untuk menyertai dalam aktiviti politik atau mahu mencapai apa-apa matlamat untuk melibatkan penyertaannya atau calonnya dalam pemilihan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan, pertubuhan itu hendaklah membuat permohonan pendaftaran baharu," katanya dalam satu kenyataan.
  
Bagaimanapun jelas beliau, sehingga kini JPPM tidak menerima apa-apa permohonan pendaftaran baharu daripada pertubuhan tersebut untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah.
  
Persatuan itu sebaliknya hanya didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bermatlamat menjalankan aktiviti dan program kebajikan kemasyarakatan serta kerja-kerja amal dan bukannya sebagai sebuah pertubuhan politik, katanya.
  
Mohammad Razin menjelaskan laporan akhbar hari ini bahawa persatuan berkenaan disebut-sebut bakal membentuk 'Pas Baharu' dan akan melancarkan badan perhubungan negeri yang pertama di Pahang. - Bernama