• Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM - Pas hari ini menjelaskan bahawa calonnya Wan Rosdi Wan Ibrahim  tidak pernah ‘ditutup mulut’ oleh parti daripada bercakap.

Pengarah Induk Pilihan Raya Pas, bagi PRK Dun Pengkalan Kubor, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak pernah bertindak sedemikian (tutup mulut calon) sebaliknya mengizinkan Wan Rosdi bercakap mengenai hasrat serta wawasannya di Pengkalan Kubor.

Namun jelas Tuan Ibrahim, perihal polisi parti hanya akan dijelaskan oleh pimpinan tertinggi Pas kerana bimbang akan berlaku eksploitasi.

“Kita tidak pernah menghalang calon kita daripada bercakap….kita tidak kuasai media perdana, jadi ianya mudah untuk diekspolitasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Sekarang kita fokus perihal gerak kerja Pas, cuma berkaitan polisi parti biarlah pimpinan tertinggi yang jawab,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemampuan Pas untuk melakarkan kejutan pada PRK kali ini, Tuan Ibrahim berkata peluang kali ini adalah sama rata.

“Kita lihat peluang kita di PRK Dun Pengkalan Kubor adalah 50-50,” katanya.

Isu calon Pas ‘ditutup mulut’ timbul berikutan kenyataan Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya Pas PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, segala isu hanya akan diperjelaskan oleh penceramah serta pimpinan tertinggi Pas.

"Tok Wan Di (Wan Rosdi) seorang yang berlatarbelakangkan agama, boleh berceramah, boleh berucap, tetapi kita larang dia. Tugas dia hanya jumpa pengundi, buat lawatan rumah ke rumah dan ketika ceramah hanya memperkenalkan diri sahaja dan dia dilarang cakap lebih.

"Dan kebanyakan bahan kempen adalah daripada jentera pilihan raya parti dan bukan daripada calon," katanya dalam sidang media di Markas Besar Pas, baru-baru ini.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilakukan  untuk memastikan calon dapat berjumpa dengan semua penduduk di kawasan Pengkalan Kubor.

"Kalau nak suruh calon berucap mengenai isu, takut ambil masa yang lama dalam satu-satu ceramah dan akan menjejaskan kelancaran pergerakan jumpa penduduk," katanya.