1 / 1
BATU PAHAT - Perwakilan Terengganu, Mohd Nor Hamzah membidas tindakan segelintir kepimpinan Pas yang dilihat terlalu condong dan mengikut telunjuk PKR dan DAP.

Dakwanya, pemimpin terbabit sepatutnya bersama-sama mempertahankan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan bertindak sebaliknya.

Tegasnya, tahaluf  siyasi yang dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama perlu diperkukuhkan selagi ia tidak melanggari syarak.

"Tahaluf siyasi seperti tiga orang berkawan, seorang Pas, seorang PKR dan seorang lagi DAP," katanya.

Namun, Mohd Nor memberi peringatan secara berkias  kepada  perwakilan yang hadir agar tidak terikut-ikut dengan telunjuk pemimpin parti lain.

"Kepala Pas kepala Pas, tangan Pas tangan Pas, mulut Pas mulut Pas, kaki Pas kaki Pas.

“Jangan ada tangan Pas yang mengikut kepala DAP. Kepala kita adalah presiden. Kepala PKR adalah Anwar Ibrahim dan  Wan Azizah.

“Jangan di kalangan tubuh yang ada pada Pas tiba-tiba mengikut kepala PKR dan DAP," katanya.

Tambahnya, muamalah PR dalam  erti kata tahaluf siyasi sangat  berbeza dengan BN.

"Inilah yang kita pertegaskan setiap kali muktamar iaitu pengukuhan PR,"katanya  ketika membahaskan ucapan dasar presiden  di Muktamar Tahunan Pas ke-60 di sini, semalam.

Dalam membahaskan ucapan dasar itu juga, Mohd Nor turut berkongsi sebab tindakan perwakilan  Pemuda Pas keluar  dewan muktamar ketika Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berucap.

"Pemuda lari kerana timbalan presiden meminta kita menyokong Jokowi (Presiden Indonesia) sedangkan Jokowi disokong kuat oleh Amerika Syarikat.

"Kita  perlu contohi Rasulullah SAW" katanya .

Muktamar Pemuda Pas pada Selasa menyaksikan kira-kira 30 perwakilan bertindak keluar meninggalkan dewan.

Bagaimanapun, jelas Mohamad tindakan keluar perwakilan itu sebagai perkara biasa.