• 1Malaysia Development Berhad 1Malaysia Development Berhad
1 / 1
KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara digesa menjelaskan dakwaan bahawa syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memohon Bank Negara untuk melanjutkan tempoh pinjaman tidak berbayarnya (NPL).

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menegaskan jika dakwaan itu benar, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu menyatakan alasan munasabah permohonan itu wajar diluluskan.

"Kalau benar permohonan itu diluluskan, apakah alasan menyebabkan Bank Negara boleh meluluskan tempoh itu.

"Adakah 1MDB menghadapi masalah kewangan dan adakah dia cuba memberikan akujanji kepada Bank Negara untuk membawa wang dari pihak luar," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa 1MDB memohon kepada Bank Negara untuk melanjutkan tempoh pinjaman tak berbayarnya (NPL) dari tiga bulan kepada enam bulan.

A.Kadir yang memetik kenyataan sumber mendakwa Gabenor Bank Negara dalam satu pertemuan bersetuju dengan permohonan itu walaupun tidak bersetuju dengan pinjaman besar yang dibuat oleh 1MDB.

Beliau mendakwa, Zeti tidak bersetuju kerana pinjaman tersebut boleh memberi kesan yang serius kepada sistem perbankan negara.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mendesak kerajaan supaya menjelaskan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji dan CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai lembaga pengarah 1MDB.

"Sejauhmana Tabung Haji dan LTAT juga terseret dalam 1MDB, kalau 1MDB mengalami kerugian kerana beban hutang meningkat, sudah tentu beri kesan kepada dividen pencarum dalam dua tabung amanah itu.

"Permodalan Nasional Berhad adalah amanah saham Bumiputera, sejauh mana terkesan dengan pinjaman dengan krisis 1MDB terhadap pulangan dividen saham pencarumnya," katanya lagi.

Sehingga Mac lalu, 1MDB menanggung hutang sebanyak RM49.1 bilion berbanding asetnya bernilai RM51.4 bilion.

1MDB boleh mengekalkan tempoh lanjutan itu sekiranya ia mampu membawa pulang dana RM7 bilion yang dilaburkan di bank luar pesisir Cayman Islands.