•  Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas hari ini menafikan kepincangan komunikasi antara PR dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar berkata, komunikasi antara Hadi dan PR masih berlangsung seperti biasa dan dakwaan seperti itu tidak harus dibangkitkan.

"Saya tidak fikir tiada komunikasi (antara PR dan Hadi). Baru-baru ini beliau hadir ke Parlimen bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) dan Lim Kit Siang (Penasihat DAP)," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas Pusat, di sini, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media berasingan di Petaling Jaya hari ini menyifatkan komunikasi dalam PR sentiasa berlaku termasuk dengan Pas.

Namun, beliau mendakwa komunikasi itu bukan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebimbangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang‎ terhadap masa depan PR kerana sudah tidak bermesyuarat selama enam bulan.

Beliau dalam pada itu turut mengakui ada perkara yang tidak berjalan dengan baik dalam perikatan parti tersebut.