• Ab Aziz Kadir Ab Aziz Kadir
1 / 1
KOTA BHARU - PKR Kelantan menyifatkan tindakan DAP menentang hukum hudud disebabkan kurang kefahaman mengenai pelaksanaan undang-undang Islam itu.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir berkata, pendekatan terbaik perlu dilakukan bagi menangani masalah percanggahan pendapat dalam isu tersebut.

Katanya, parti komponen dalam PR harus menyahut kenyataan DAP itu sebagai terjemahan bahawa mereka masih tidak memahami hukuman itu bagi orang Islam.

“Kita perlu melipatgandakan usaha untuk memberi penjelasan dan caranya kena lebih berkesan kepada DAP, dan masyarakat bukan Islam khususnya.

“Realitinya, politik di negara ini memerlukan majoriti, jadi harus pemain politik menerima dengan jujur, jangan hipokrit dan akhirnya hanya menjadi cakap-cakap kosong tanpa bertindak dengan kebijaksanaan dan hikmah,” katanya.

Ab Aziz turut percaya perbincangan lebih memberi manfaat dan menjernihkan keadaan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam PR.

Isu percanggahan pendapat dalam isu hudud bermula apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta PR menyatakan dengan jelas pendirian bahawa gabungan ketiga-tiga parti itu tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang PRU14.

Susulan itu, DAP diberi kata dua sama ada menghormati keputusan Pas Kelantan untuk melaksanakan hudud atau keluar PR yang disuarakan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Islam tidak perlu takut hudud ]