SHAH ALAM – Umno dan Pas perlu bertegas mempertahankan pendirian mereka dalam isu hudud, sekaligus mengetepikan kepentingan politik masing-masing.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, kerjasama kedua-dua belah pihak amat diperlukan bagi memastikan hudud berjaya dilaksanakan.

“Kita harap baik Pas mahupun Umno ambil berat isu hudud demi Islam bukannya kepentingan politik. Malah, ia boleh dijadikan batu loncatan untuk penyatuan dalam hal melibatkan agama pada masa akan datang,” katanya, semalam.

Menurut beliau, Pas dan Umno juga perlu menunjukkan kesepakatan untuk mempertahankan hudud walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutu mereka.

“Dalam isu agama, orang lain yang tidak bersetuju tiada hak untuk campur tangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman berkata, pelaksanaan hudud memerlukan penglibatan kolektif semua pihak dan melangkaui kerjasama politik.

“Isu hudud memerlukan tindakan bersepadu untuk dilaksanakan. Ini kerana salah satu elemen pelaksanaan undang-undang syariah ini adalah tata kelola kerajaan yang baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerjasama ditunjukkan Pas dan Umno sudah mencukupi.

“Jika kita tengok maklum balas yang ada, masih memerlukan usaha berterusan dan menyeluruh. Kedua-dua pihak bukan sekadar perlu pastikan hudud ini boleh dilaksanakan,  tetapi juga mesti beri penerangan kepada yang menentang," katanya.