• Abu Bakar Abdullah Abu Bakar Abdullah
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus dibidas oleh pimpinan Pas berhubung gesaan beliau supaya PR memperjelas pendirian supaya hudud tidak dilaksanakan.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah menganggap kenyataan pemimpin kanan DAP itu tidak berasas yang beranggapan seolah-olah hudud sebagai penghalang kemenangan PR pada PRU14 akan datang.

Menurutnya, DAP sepatutnya menghormati pendirian Pas kerana ia adalah agenda perjuangan parti itu sejak dahulu.

“DAP sepatutnya menghormati kita, barulah ada pakatan. Bukan kerana pelaksanaan hukuman hudud menyebabkan kita tidak mendapat sokongan rakyat, itu hanya andaian dia sahaja bukan realiti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, Pas tetap tidak berganjak dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam termasuk hudud sebagaimana dijanjikan Kerajaan Kelantan untuk membawa perundangan tersebut ke Parlimen tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Isu hudud: PR kena tegas jika mahu Putrajaya ]

Beliau berkata, hudud adalah hukum ALLAH SWT yang boleh memberi jaminan terhadap keharmonian dan keselamatan masyarakat di negara ini.

Jelasnya, hukuman tersebut menepati kehendak rakyat dan percaya rakyat akan memberi sokongan teguh terhadap PR bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan.

“Dari sudut fakta, apabila kita tidak laksanakan hukum ALLAH, negara sarat dengan jenayah, tidak wujud keharmonian. DAP kena lihat positif bukan membuat andaian negatif.

“Kalau rakyat mahu keadilan, kesejahteraan, sudah tentu mereka sokong syariat ALLAH secara tidak langsung menolak tanggapan rakyat tidak beri sokongan. Usaha ini akan dapat keyakinan rakyat untuk sokong PR,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Pas Terengganu sebelum ini pernah menggubal kanun jenayah syariah yang diluluskan sebelum wujudnya PR dan perkara itu bukan satu rahsia yang diketahui rakan PR termasuk DAP.
Bagaimanapun, Abu Bakar tidak menolak bahawa DAP sejak dahulu lagi menolak hudud sebagaimana pendirian dikeluarkan bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh sejak dari awal.

“Pas tidak berganjak dalam perjuangan untuk menegakkan syiar ALLAH. Sepatutnya DAP tidak keluar kenyataan negatif dan hormatilah rakan dalam PR,” katanya.