• Rafizi Ramli
1 / 1
SHAH ALAM - Sokongan padu pengundi Cina kepada PR adalah kerana dasarnya yang memerangi rasuah dan memusuhi pembaziran, penyelewengan dan mengangkat amanah pentadbiran.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menegaskan jika BN mahu menarik sokongan pengundi Cina ini, mereka perlu membanteras rasuah dan penyelewengan.

"Kenyataan Tun Mahathir yang mahu mengaitkan pola sokongan rakyat itu dengan perkauman adalah tidak tepat kerana rakyat yang menyokong PR adalah berbilang bangsa.

"Tiada satu tawaran PR pun yang bertentangan dengan Perlembagaan atau menyentuh isu kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu atau kedudukan raja-raja.

"Yang cukup berbeza di antara pendekatan PR daripada BN adalah soal anti rasuah, tata kelola, menghormati rakyat dan melayan semua rakyat dengan adil," katanya dalam satu kenyataannya, semalam.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam yang mengatakan parti seperti Umno, PKR dan Pas terpaksa 'mengemis' untuk mendapatkan sokongan politik daripada golongan Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Melayu mengemis pada Cina raih sokongan ]

Mahathir berkata lagi, sepatutnya orang Melayu (Umno) boleh memenangi pilihan raya berdasarkan 60 peratus daripada penduduk di negara ini adalah orang Melayu.

Katanya lagi, apabila orang Melayu terpaksa mengemis, kaum itu tidak lagi berkuasa di negara ini.