• Yusuf Yusuf
1 / 1
SHAH ALAM - Tuduhan polis antarabangsa (Interpol) mengatakan sarjana Islam terkemuka, Dr Yusuf Qaradawi menjadi dalang yang menggalakkan rakyat Mesir melakukan pembunuhan dan vendalisme itu merupakan satu fitnah yang tidak berasas.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan mendakwa, waran tangkap itu dipercayai atas permintaan regim Al-Sisi yang penuh dengan dendam.

"Kita nampak waran Interpol yang diminta oleh regim Al-Sisi adalah satu permintaan yang penuh dengan fitnah tidak berasas.

"Dr Yusuf sendiri memang minta supaya orang muda menunjukkan contoh dengan membersihkan Dataran Rabiah selepas tunjuk perasaan itu," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Baru-baru ini, Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qardhawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas Yusuf dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.

Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Antara tuduhan terhadap Yusuf ialah menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara serta aktviti vendalisme dan kecurian.

Dalam pada itu, Amidi berkata lagi, Abim membantah tindakan itu sambil menyifatkan permintaan kerajaan Mesir itu mempunyai dendam dan mengamalkan sikap double standard.

"Regim Al-Sisi telah membebaskan Husni Mubarak daripada semua tuduhan tetapi cuba mensabitkan Yusuf Qaradawi dengan tuduhan yang tidak berasas.

"Sedang masyarakat mengetahui penindasan yang dilakukan oleh Husni Mubarak terhadap pejuang agama Islam (ulama) di Mesir," ujarnya.

Sehubungan itu, Abim juga mengesa kerajaan Malaysia supaya menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan Interpol itu.

"Malaysia telah mengiktiraf ketokohan Dr Yusuf Qaradawi, sudah tentu Malaysia sendiri ada asas untuk menyatakan sikap berubah iaitu membantah pengeluaran waran tangkap Interpol itu," katanya lagi.