• Anggota bomba turut membantu penduduk Kampung Balik Bukit, Setiu berpindah ke pusat pemindahan. Anggota bomba turut membantu penduduk Kampung Balik Bukit, Setiu berpindah ke pusat pemindahan.
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Keadaan hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan banjir semakin buruk, dengan jumlah mangsa terlibat dengan pemindahan mencecah 7,906 orang.

Daerah yang terjejas akibat banjir adalah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Berdasarkan aplikasi Info Banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, daerah yang paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu yang melibatkan 2,685 orang berpindah, iaitu dari 829 keluarga yang mana kesemua mereka kini ditempatkan di 34 pusat pemindahan.

Turut terjejas teruk adalah daerah Besut dengan 22 pusat pemindahan dibuka yang menempatkan 2,155 orang dari 565 keluarga.

Selain itu, Setiu juga terjejas apabila jumlah mangsa meningkat kepada 1,709 orang daripada 455 keluarga. Mereka kini ditempatkan di 16 pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Di Dungun pula, sebanyak 14 pusat pemindahan dibuka yang menempatkan 173 keluarga, melibatkan 583 orang. Manakala di Kemaman, seramai 775 orang dari 231 keluarga kini ditempatkan di 17 pusat pemindahan.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu melaporkan, kebanyakan stesen di hampir semua daerah terutama di daerah pendalaman Besut dan Hulu Terengganu mencatatkan kadar hujan sangat lebat iaitu melebihi 60 milimeter (mm), sehingga 245 mm sejak jam 12 tengah malam kelmarin.

Beberapa sungai di negeri ini, turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai (Sg) Besut di Jambatan Keruak, 36.34 meter (bahaya: 35.00 m); Sg Besut di Kampung (Kg) La:, 22.35 m (bahaya:19.20 m); Sg Besut di Jambatan Jerteh: 9.46 m, (bahaya: 8.90 m); Sg Setiu di Jambatan Permaisuri: 9.30 m (bahaya 8.80 m).

Sungai lain yang turut melepasi paras bahaya adalah Sg Nerus di Kg Langkap: 22.85 m (bahaya: 21.50 m); Sg Telemong di Kuala Ping : 21.40 m (bahaya: 20.00 m); Sg Berang di Kg Menerong:25.59 m (bahaya: 24.50); Sg Dungun di Jambatan Jerangau: 13.04m (bahaya: 12.90 m) dan Sg Dungun di Kuala Jengai: 23.85 m (bahaya: 21.00 m)

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran hujan lebat (peringkat jingga) di beberapa daerah iaitu di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan dijangka akan berterusan sehingga esok.