• Mohd Misbahul Munir Masduki Mohd Misbahul Munir Masduki
1 / 1
IPOH – Kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi relevan untuk terus menerajui Pas biarpun menerima kritikan pelbagai pihak.

Ketua Penerangan Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, sebarang cadangan untuk menukar pimpinan bukan hak individu sebaliknya diputuskan di peringkat kawasan.

Menurutnya, tindakan individu secara terbuka mahu Abdul Hadi tidak dicalonkan pada muktamar akan datang adalah tidak wajar.

“Sebarang cadangan harus disalurkan di dalam mesyuarat di peringkat kawasan atau cawangan, bukan meluahkan melalui media sosial kerana ia dilihat cuba merendah-rendahkan  pemimpin.

“Kita dididik untuk menegur secara baik dan bukan keluarkan kenyataan seolah-olah mahu menjatuhkan pemimpin,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas Perak berpandangan, Abdul Hadi perlu kekal sebagai presiden memandangkan sumbangannya bukan sahaja diiktiraf negara ini, malah luar negara.

Mengenai cadangan agar Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am Pas, beliau berkata, setakat ini Pas masih memerlukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memegang jawatan itu.

Kelmarin, Presiden Geng Ustaz, Norazli Musa tampil dengan kenyataan bahawa Abdul Hadi harus kekal menerajui parti itu biarpun ada pihak yang mula mengetepikannya.

Isu mengenai kepimpinan Abdul Hadi timbul selepas bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Shariff mencadangkan pemimpin itu tidak dicalonkan sebagai presiden, sebaliknya sebagai Mursyidul Am Pas menggantikan Nik Abdul Aziz.