• Datuk Mohd Amar Abdullah Datuk Mohd Amar Abdullah
1 / 1
KOTA BHARU - Walaupun pelbagai pendapat diutarakan mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun Pas Kelantan menegaskan khidmat pemimpin itu masih diperlukan bagi menerajui kepemimpinan tertinggi parti selepas ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Abdul Hadi adalah pemimpin yang mempunyai pengalaman dan masih layak memegang jawatan tersebut.

“Beliau dapat pengiktirafan dunia sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, penghormatan sangat besar, bukan senang nak cari pemimpin tempatan diiktiraf sebegini.

"Maka, sesuailah beliau masih memegang tampuk pemerintahan tertinggi parti, pendapat orang lain itu  hanyalah pandangan peribadi mereka sahaja, bukan pendirian parti,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden untuk pemilihan 2015 hingga 2017 yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar turut menegur tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika masih ada lagi pihak yang berbuat demikian.

“Musim banjir, ada lagi pihak politikkan barangan sumbangan, letak cap, letak lambang parti dan ada juga kawasan memerlukan cop wakil rakyat, kalau tidak, borang tidak lulus, sedangkan tiada syarat yang meletakkan sebegitu.

"Sekarang ini kita sudah sediakan peguam, jika ia masih berterusan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Mohd Amar berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana barangan sumbangan bukanlah daripada pihak tersebut tetapi daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang perseorangan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya adakan Sidang Dun Khas bagi mengemukakan rang undang-undang pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2014, 29 Disember lalu, namun ia ditunda satu tarikh lain.

"Sehingga kini, kami masih menunggu tarikh sesuai, dijangka ia diadakan akhir Januari ataupun awal Februari ini.

"Namun, perkara ini akan diputuskan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebelum ia dibawa untuk  perkenan Sultan Kelantan," katanya.