• Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
1 / 1
SHAH ALAM – Seorang suri rumah antara tiga yang ditahan kerana cuba menyertai kumpulan Islamic State (IS) di Syria, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) antara 7 Januari hingga hari ini.

“Suspek pertama berusia 25 tahun dan merupakan bekas operator di sebuah kilang di Lembah Klang.

“Suspek kedua berusia 29 tahun dan merupakan bekas penyelia di sebuah kilang di Selangor. Manakala suspek ketiga pula suri rumah dan merupakan isteri kepada salah seorang suspek,” katanya seperti yang dipetik menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, ketiga-tiga suspek dikatakan pernah diusir dari Australia selepas didapati menyalahgunakan visa pelancongan yang dimiliki.

“Ketiga suspek disyaki terlibat dalam aktiviti merekrut dan menguruskan penghantaran tiga warganegara Malaysia ke Syria melalui sebuah negara ketiga sebelum ini,” katanya lagi.

Kesemua suspek yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.