• Mungkin wujud dua kumpulan menjelang MuktamarAhmad (empat,kanan) menyumbang kepada Tabung Rohingya di Medan Ilmu, Kota Bharu.
 1 / 1 
KOTA BHARU – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob tidak menolak kemungkinan pertembungan dua aliran kepimpinan iaitu mempertahankan Pas dalam PR atau mahu meninggalkan pakatan itu Muktamar nanti.
 
Menurutnya, pertembungan itu bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia asam garam yang biasa wujud dalam dunia berpolitik dan berparti.
 
“Kita tidak boleh lari dah, akan ada sedikit sebanyak sokongan kepada mana-mana pihak, tapi yang boleh menentukan adalah muktamar, kita beri ruang di muktamar nanti, kerana kita mengamalkan sistem demokrasi,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah sesi kedua di Medan Ilmu, di sini.
 
Beliau diminta mengulas kenyataan Mohammad Faiz Fadzil, anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang memberitahu pemilihan sempena muktamar Pas kali ini bakal menyaksikan pertembungan dua golongan iaitu aliran kepimpinan yang mahu mempertahankan Pas dalam PR dan satu kumpulan lagi yang mahu Pas meninggalkan parti pembangkang.
 
Menurutnya, muktamar perlulah dijadikan medan untuk menyelesaikan segala kemelut dan ia juga seharusnya dijadikan forum terbaik untuk memberi pandangan masing-masing.
 
Malah, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyifatkan tindakan berbincang di medan muktamar lebih baik dan terkawal daripada mengeluarkan pandangan di luar.
 
“Lebih baik daripada kita mengeluarkan pandangan kita di luar. Mungkin ada (pertembungan), kalau ada, baru lah kita akan lihat pandangannya dan sebagainya,” katanya.
 
Beliau turut ditanya mengenai pegangan Pas sebagai salah satu komponen dalam PR yang kini bagaikan diapikan kepimpinan sendiri untuk keluar daripada kerjasama tersebut.
 
Ahmad menjelaskan, Pas masih lagi tidak berganjak dengan pendirian dan dasar parti iaitu untuk menegakkan agama Islam terutamanya daripada segi disiplin yang diterapkan.
 
“Kita tetap dengan pendirian iaitu menegakkan jemaah Islam, tetap dengan agama Islam, saya rasa kita tidak bergerak, apabila tidak bergerak, orang yang bergeraklah yang akan keluarnya,” katanya.