• Ahmad Yunus Hairi
 1 / 1 
KLANG - Tekanan DAP terhadap Pas menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-61 nanti cuma isu yang diperbesarkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tidak ada isu tekanan DAP terhadap Pas sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Saya rasa ia cuma satu isu yang diperbesarkan sahaja. Saya kira tak ada apa isunya,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Hari Kualiti Pendidikan 2015 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Bercakap mengenai muktamar, Ahmad Yunus berkata, ia adalah jalan penyelesaian ke atas perkara-perkara yang didebatkan.

Katanya, keputusan akan dicapai selepas penggulungan dilakukan walaupun senarionya pelbagai.

“Ia macam tradisi yang biasa berlaku. Saya rasa ahli-ahli pun dah dewasa berkaitan dengan isu yang berlaku.

“Saya harap muktamar pada kali ini akan berakhir dengan baik. Macam carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga,” katanya.