• Lim Guan EngLim Guan Eng
 1 / 1 
KUANTAN – Pemuda Pas Kuantan menggesa agar setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta maaf dan menarik semula tuduhan yang dilemparkan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi demi kelangsungan PR.

Ketuanya, Fadhli Ibrahim berkata, sebagai sebuah parti gabungan sepatutnya semangat setia kawan perlu diperkukuhkan dalam usaha menjernihkan hubungan parti dalam PR.

“Di mana semangat setia kawan dalam PR, dan kami kecewa apabila DAP tidak henti-henti menyerang Pas terutamanya terhadap Abdul Hadi. Malah pelbagai tuduhan liar dan berniat jahat dilembarkan kepada Pas,” katanya dalam satu kenyataan mengenai dakwaan Guan Eng yang mengatakan Abdul Hadi lebih condong kepada Umno.

Beliau mengingatkan Dap supaya tidak mencampuri urusan Pas memandangkan parti itu hanya jiran dalam PR.

“Saya minta jangan  sesuka hati masuk ke dalam kamar tidur ayah dan ibu kami kerana mereka (DAP) hanya berjiran,” katanya.

Fadhli berkata sepanjang Pas menyertai PR tidak pernah timbul isu pemimpin parti Islam itu mengkhianati PR.

“Tidak pernah berlaku seperti yang didakwa, sebaliknya ia berlaku oleh parti lain dalam PR itu sendiri,” katanya.

Jelasnya, pemilihan Pas tahun ini menunjukkan parti itu semakin berkembang dan berpengaruh apabila wujudnya campur tangan dari parti lain termasuk DAP.

Katanya, campur tangan berkenaan menunjukkan Pas dilihat mampu  menggantikan Umno untuk menggalas amanah kepimpinan negara.