• 'Tubuh parti lain bukan matlamat saya'Ahmad Awang ketika bercakap pada forum bertajuk 'Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall, malam tadi. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Bekas naib presiden Pas, Ahmad Awang memberi jaminan tidak akan menubuhkan parti baharu jika beliau ditewaskan lawannya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-61, pada Khamis depan.

Beliau menegaskan bahawa tindakan keluar parti itu dengan menubuhkan parti serpihan Pas nyata bertentangan dengan matlamat asalnya untuk mencabar jawatan presiden itu.

“Kalau menang, langkah kami ialah buat islah atau pembaikan dengan menyatupadukan ahli Pas di semua (peringkat) kumpulan berdasarkan Perlembagaan Pas dan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

“Kalau kalah, tujuan bertanding untuk menyatukan Pas, kalau tubuh parti lain itu (sudah) keluar dari matlamat saya, saya tidak akan tubuhkan parti baharu, yang salah bukan Pas,” katanya pada forum bertajuk 'Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall, di sini, malam tadi.

Pada 15 Mei lalu, bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu mengesahkan akan mencabar Abdul Hadi bagi merebut jawatan Presiden Pas pada pemilihan parti itu, minggu depan.

Mengulas lanjut, Ahmad juga berkata, Abdul Hadi dan mana-mana calon pemimpin Pas Pusat tidak akan dipinggirkan dalam kabinet beliau jika beliau memenangi pertandingan tersebut.

“Langkah pertama ialah pihak yang kalah akan diwakili dalam kabinet kami (tidak dipinggirkan), tak mahu ketepikan (Abdul Hadi),” ujarnya.

Beliau berkata lagi, usaha pembaikan dalam Pas perlu dilakukan segera dan pemilihan Pas kali ini bakal menentukan hala tuju Pas menjelang PRU14 sama ada kekal sebagai rakan kuat dalam PR atau berdepan risiko kehilangan kerusi khususnya di Selangor.

“Pemilihan Pas dua tahun sekali, kalau pimpinan tidak bawa kami (bertanding), PRU14 akan habis kerusi Pas (Selangor),” katanya sambil menegaskan beliau akan terus bekerja untuk menyatupadukan ahli dan pimpinan Pas meskipun tewas pada pemilihan Pas itu.
 
Sementara itu, Ahmad berkata lagi keputusan untuk bertanding kali ini bukan sesuatu yang membuang masa, sebaliknya kemenangan itu boleh dicapai.
 
“Kalau kalahpun takkan saya dapat 100 undi saja daripada 1,000 perwakilan.
 
“Kalau saya dapat 500 undi, dan pemenang boleh 550 maka, maka saya kena berfikir, kemenangan itu boleh dicapai, bukan buang masa saja tapi achieveable,” katanya lagi.