• Datuk Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan semua pihak agar tidak mudah mempercayai khabar angin mengenai usaha untuk mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.

Beliau menegaskan perkara itu hanyalah fitnah semata-mata yang tidak berkesudahan dan sering diuar-uarkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

"Saya ingin menegaskan Pas konsisten dengan ketetapan bersama PR sepertimana yang telah diputuskan dalam Muktamar Pas.

"Bahkan Majlis Syura Ulama Pas turut membuat penafian kononnya Majlis Syura Ulama dan ahlinya ada yang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang mendakwa kerjasama politik dalam PR hanya boleh bertahan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Mengulas lanjut, Mahfuz juga berkata, usaha pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan adalah hak demokrasi Pas selepas diberi amanah untuk mentadbir Kelantan sejak 1990.

"Bukankah DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen? Sepatutnya DAP menghormati hak dan suara pihak lain yang secara sah mendapat mandat majoriti dalam sidang Dun Kelantan.

"Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan hanya akan dapat dilaksanakan apabila Parlimen memberi kelulusan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Pas boleh menerima apa juga keputusan yang dibuat berhubung hasrat Pas untuk membawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah.

"Pas tiada halangan sekiranya DAP mahupun Umno menolak Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Pas akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat di Parlimen sama ada menerima mahupun menolak cadangan pindaan akta tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut mengingatkan DAP supaya menghormati pendirian rakan-rakan lain dalam PR.

Beliau menegaskan sikap tidak menghormati DAP pada masa ini telah memberi ruang kepada Umno untuk meretakkan kerjasama politik PR dan memburukkan keadaan.

"DAP jangan bagi peluru kepada Umno, jangan bagi jangka hayat panjang kepada Umno, kita pimpinan ulama berkali-kali mengingatkannya.

"Bila berlaku isu dalaman, kita (perlu) berbincang secara dalaman...bukan ditembak keluar. Itu sikap kita," katanya lagi.