• Dr Abu Bakar AbdullahDr Abu Bakar
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Tindakan bekas naib presiden Pas, Ahmad Awang untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan Presiden Pas pada pemilihan parti itu bulan depan dianggap sebagai memecahkan tradisi parti.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah berkata, berdasarkan amalan yang lepas, jawatan presiden tidak dipertandingkan walaupun demokrasi dan perlembagaan parti membenarkan.

Walaupun tindakan Ahmad itu tidak salah, namun beliau menggambarkan tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dalam sebuah jemaah Islam, pertandingan di peringkat presiden akan buka ruang kepada musuh untuk mencari kelemahan calon.

“Dalam konteks ini, dalam jemaah Islam, seboleh-bolehnya tidak dipertandingkan. Kita ingin perlihatkan kepada masyarakat kita bersatu, berpadu. Kalau ada pertandingan, orang akan lihat kelemahan.

“Jadi, saya berpandangan bahawa beliau (Abdul Hadi) tidak wajar dicabar. Ikut amalan demokrasi dan perlembagaan parti, satu-satu jawatan boleh dipertandingkan tetapi lebih baik diputuskan dengan cara syura,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada perwakilan untuk buat keputusan berhubung perkara itu, namun mengharapkan perwakilan mengekalkan Presiden Pas sedia ada dalam pemilihan parti nanti.

Jelasnya, walaupun wujud pertandingan, ia tidak sesekali menggambarkan wujud perpecahan dalam Pas dan beliau yakin ahli parti itu faham dengan situasi yang berlaku dan tidak menimbulkan sebarang perkara yang mengundang perpecahan.

“Walaupun orang luar mudah menghakimi situasi Pas dalam keadaan lemah berikutan wujudnya pertandingan di peringkat presiden, saya tak mahu ambil pusing.

“Masing-masing boleh buat andaian, tapi apabila kita berjuang kerana ALLAH, semua perkara yang melemahkan dan menjejaskan kredibiliti parti tak akan berlaku,” katanya.