• Pas
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - Ulama Pas diminta memikirkan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memperjelaskan lagi peranan ulama dalam masyarakat.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd Nazri Chik berkata, diakui peranan ulama Pas selama ini telah berkembang di peringkat masyarakat dengan cukup baik.

“Jika tidak, Pas tidak akan berada dalam situasi hari ini. Pas maju dan berpendirian sebegini adalah kerana peranan yang telah dimainkan ulama Pas.

“Kita generasi muda pun berada pada tahap hari ini kerana didikan yang diberikan ulama terdahulu,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Selangor kali ke-27, semalam.

Mohd Nazri berkata, muktamar itu menjadi tempat untuk Dewan Ulama Pas Selangor sama-sama bermesyuarat bagi menilai semula peranan dan tugas yang digalas.

“Ia bagi mengingatkan kita kepada beberapa tanggungjawab yang telah diberikan sama ada telah memenuhi hasrat (parti) atau tidak,” katanya.

Beliau turut menambah, ulama juga boleh memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara dengan melantik penyelidik dalam kalangan ulama Pas untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu ekonomi semasa.

“Saya harap langkah ini akan memberi kesan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Pada muktamar semalam, Rizuan Rahmat dilantik sebagai Ketua Ulama Pas Selangor menggantikan Mohd Zain Abdul Rahman bagi sesi 2015 hingga 2017.