Saya akan terus bersuara, kata TMJ
-
Tunku
Ismail menyampaikan ucapan ringkas di hadapan lebih 2,000 rakyat Johor
yang berhimpun di pintu masuk Istana Bukit Serene, semalam.
JOHOR BAHRU - "Saya ingin tegaskan bahawa saya akan sentiasa menegakkan
kedaulatan negeri Johor," ujar Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bercakap di hadapan ribuan rakyat negeri ini, yang berhimpun di
pekarangan pintu masuk Istana Bukit Serene, di sini, Tunku Mahkota Johor
berkata, tindakannya itu demi kesejahteraan negeri Johor dan rakyat
negeri ini.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya terus bersuara jika perlu demi kesejahteraan bangsa Johor dan rakyat Malaysia.
“Sebagaimana pesanan Duli Yang Maha Mulia ayahanda saya (Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) bahawa saya adalah hamba rakyat Negeri
Johor,” katanya di sini, semalam.
Pada awal ucapan ringkasnya itu, Tunku Ismail secara sinis memberitahu
enggan bercakap dengan lebih panjang kerana ada pihak mahu membelasah
dirinya.
“Saya tidak mahu bercakap panjang-panjang sangat, kerana ramai orang di Putrajaya hendak 'whack' (belasah) saya,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh pertubuhan badan
bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Johor yang hadir ke Himpunan Menjunjung
Kasih Taat Setia Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahkota Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman
Salleh berkata, perhimpunan rakyat itu berjalan dengan aman dan lancar
tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menurutnya, sejumlah pegawai dan anggota polis mencukupi telah ditempatkan di lokasi berkenaan bagi mengawal keadaan.
“Himpunan berjalan dengan aman dan tiada insiden tidak diingini berlaku, malah keadaan lalu-lintas juga berjalan lancar.
“Peserta himpunan mula bersurai sebaik sahaja mereka selesai menyerahkan memorandum kepada pihak istana,” katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment