• DAP, Pas DAP, Pas
1 / 1
SHAH ALAM - DAP Johor menolak hasrat Pesuruhjaya Pas negeri itu, Datuk Dr Mahfodz Mohamad untuk meneruskan kerjasama mereka sebagai rakan sekutu dalam PR.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata selepas Muktamar Pas Pusat menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP, beliau merasakan tiada lagi ruang untuk bekerjasama antara dua parti itu.

"Disebabkan Mahfodz merupakan pencadang usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, saya tidak nampak ruang kerjasama antara DAP dan Pas Johor.

"Oleh itu, saya kira bahawa kenyataan Mahfodz yang tiba-tiba ingin meneruskan hubungan dengan DAP ialah kenyataan yang kurang integriti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam Mahfodz menyatakan hasrat untuk bertemu dengan kepimpinan DAP di negeri itu bagi "mengeratkan kembali" hubungan serta membawa kembali keharmonian antara parti-parti dalam pakatan pembangkang itu.

Dalam pada itu, Chin Tong selaku Ahli Parlimen Kluang juga berkata, dalam soal hubungan politik itu, DAP Johor perlu akur kepada keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Tambah beliau, keputusan muktamar parti itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP sudah menjadi langkah pertama untuk 'membunuh' kerjasama politik itu.

“Tanpa dasar bersama, harapan untuk melawan Umno dalam pilihan raya akan datang hanya dapat dicapai dengan rombakan semula bagi membentuk gabungan politik baru yang mempunyai agenda yang jelas," katanya lagi.