Makhluk dua alam tak mampu bertahan lama
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pahang menyifatkan parti serpihan Pas,
Harapan Baru yang dinaungi bekas-bekas pemimpin parti itu tidak akan
mampu bertahan lama dengan prinsip ‘makhluk dua alam’.
Ketuanya, Mokhtar Senik yakin bahawa pemimpin-pemimpin itu akhirnya terpaksa kembali mendukung perjuangan asal Pas.
“Saya lihat jika Harapan Baru muncul sebagai parti politik Islam kedua
selepas Pas, ia tidak akan dapat berkayuh sejauh mana dalam gelombang
politik tanah air. Akhirnya mereka terpaksa kembali menjadi Pas yang
mendukung semua prinsip ajaran Islam atau terpaksa menjadi parti sekular
juga seperti DAP dan lain-lain parti sekular.
“Mereka tidak akan dapat bertahan lama dengan menjadi ‘makhluk dua
alam’. Satu sisi bercakap sebagai parti Islam dan satu sisi yang lain
bercakap sebagai parti sekular’,” katanya dalam satu kenyataan, hari
ini.
Meskipun begitu, namun beliau tetap menaruh harapan agar pemimpin-pemimpin yang tewas ini kekal bersama Pas.
“Saya tetap meletakkan harapan agar kepimpinan yang tewas itu kekal
bersama Pas. Mendukung prinsip perjuangan Islam sebagaimana sebelumnya.
“Berjiwa besarlah sebesar nama anda di persada politik negara. Jangan tunaikan apa yang dikehendaki oleh musuh Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyentuh soal sikap DAP yang mahu menuntun Pas lari dari berpandukan al-Quran dan Hadis.
“Umum telah mengetahui DAP tidak menyenangi Pas kerana dasar dan
pendekatan Islam yang dijunjung oleh Pas. Ketegasan Pas dalam
mempertahankan prinsip Islam dirasakan oleh DAP sebagai penghalang
kepada gerak kerja PR.
“Mereka mahu Pas melangkah bersama mereka tanpa mempedulikan
hukum-hukum yang termaktub dalam Islam. Kalau boleh mereka akan lebih
selesa jika Pas mengubah dasarnya kepada pendekatan dan sikap yang lebih
liberal. Mengekalkan nama Islam tidak mengapa asalkan pendekatan Pas
dapat dibebaskan dari terikat pada hukum al-Quran dan Hadis,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi mencapai hasrat itu, DAP memerlukan barisan
kepimpinan Pas yang boleh bertolak ansur dalam soal hukum dan prinsip
agama.
“ndividu tertentu dalam barisan kepimpinan Pas yang sudah sedia
memiliki aliran pemikiran tersebut perlu didekati dan diberikan sokongan
oleh DAP.
“Manakala mana-mana pemimpin Pas yang dilihat ortodoks pada penilaian
mereka perlu disingkirkan daripada kesebelasan kepimpinan Pas. Dari
situlah kita dapat lihat tindakan-tindakan biadab dilakukan oleh DAP.
“Antaranya, mengisytiharkan putus hubungan dengan Presiden Pas, tetapi
tidak dengan Pas. Sebenarnya, tidak dengan individu tertentu yang
sealiran dengan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa usaha memecahkan Pas dengan mewujudkan
parti serpihan diteruskan selepas barisan kepimpinan yang lari daripada
perjuangan asal itu tewas dalam pemilihan Muktamar Pas lalu.
“Pelan B perlu diteruskan, iaitu memecahkan Pas dengan diwujudkan parti serpihan yang lahir dari rahim Pas sendiri.
Parti serpihan ini penting kerana ia akan menjadi Dewan Himpunan Melayu
Penyokong DAP (DHMPD) yang akan menjadi stok undi DAP dalam kalangan
orang-orang Melayu. Kerana tanpa dewan ini undi Melayu secara umumnya
sama ada berpihak kepada Pas atau Umno. Jadi DAP perlu sebuah parti
baharu untuk tujuan itu.
“Mereka juga tidak senang jika pemimpin yang kecewa ini masuk PKR atau
DAP. Posisi mana yang harus disediakan kepada bekas pimpinan Pas itu?
Kalau sebagai ahli biasa, baik mereka kekal dalam Pas. Kalau sebagai
pimpinan, sudah pasti mereka tidak akan disenangi oleh barisan
kepimpinan yang lebih senior dalam parti tersebut.
Jadi langkah selamat ialah wujudkan parti baru dan biarlah parti baru
ini bekerja untuk mereka. Mereka tidak rugi, bahkan meraih keuntungan
daripadanya,” katanya.
1 orang berkata:
Apakah dengan kenyataan fitnah dan tuduh menuduh ini akan melihatkan PAS menjadi mulia? Semoga Allah kurniakan pemimpin-pemimpin PAS pertunjuk untuk merapatkan apa yang renggang dan saling bermaafan. Sudah terlalu banyak kenyataan yang menjurus kepada perpecahan atas alasan Islam tapi malangnya tiada pula pemohonan maaf kecuali Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Post a Comment