Kenapa tak tahan, siasat Arul Kanda?
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa segala tindak tanduk beliau
berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang diperhatikan
oleh rakyat.
Menurut beliau, pihaknya telah membuat laporan terhadap
Presiden/Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada 30
Mac lalu, namun sehingga kini Khalid masih belum mengeluarkan arahan
agar pihak berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Jika saya boleh ditahan hanya dalam tempoh tujuh jam selepas laporan
polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara
ini belum mengeluarkan arahan agar Arul Kanda juga ditahan untuk
siasatan lanjut.
“Tepat jam 2 petang hari ini, dua minggu telah berlalu sejak saya
membuat laporan polis terhadap Arulkanda dan pengurusan kanan 1MDB,”
katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
30 Mac lalu, Rafizi telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat
Polis (IPD) Dang Wangi terhadap Arul Kanda dan pengurusan kanan 1MDB
berhubung satu maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan
sejumlah RM288 juta telah dibelanjakan tanpa dimaklumkan dahulu kepada
Lembaga Pengarah 1MDB.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan
berkata, oleh kerana Jabatan Audit Negara mengesahkan bahawa dokumen
yang didedahkan olehnya adalah sahih, maka sudah tentu maklumat yang
terkandung di dalamnya juga adalah sah.
“Ini mengesahkan bahawa Arul Kanda dan pengurusan kanan 1MDB telah
membuat pembayaran RM288 juta tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah
terlebih dahulu dan asas yang kukuh untuk memulakan siasatan terhadap
mereka,” katanya.
Tambah Rafizi, beliau akan menunggu sehingga Jumaat ini bagi melihat
sama ada tindakan akan diambil terhadap Arulkanda untuk ditahan bagi
menjalani siasatan berhubung isu tersebut atau pihaknya kan memulakan
langkah-langkah lain selepas ini.
0 orang berkata:
Post a Comment