SHAH ALAM – "Kenapa perlu takut dengan Dr Zakir Naik?," demikian persoalan dibangkitkan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad. Menurutnya, tubuh Zakir Naik kecil sahaja malah wataknya lembut.

“Tiba-tiba kedatangan beliau ke Malaysia telah menjadi isu yang kontroversi. Sehingga sanggup menggelar beliau syaitan.

“Islam tegak dengan hujah. Bawalah hujah, jangan terlalu emosi sehingga hilang rasional dan nilai intelektual,” katanya.


Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P.Ramasamy dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook menggelar Zakir sebagai 'syaitan dan penipu'.

Tindakan Ramasamy mengundang kritikan keras Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang.

Pengerusi Biro Agama GPMS Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad berkata, sebagai seorang timbalan ketua menteri dan ahli akademik, Ramasamy sewajarnya mengambil pendekatan yang lebih berhemah dan bijaksana dalam mengeluarkan kenyataan serta pandangan dalam laman sosial Facebook.   

"GPMS Pulau Pinang sangat kecewa dengan tindakan Ramasamy menghasut rakyat khususnya dalam kalangan kaum India beragama Hindu untuk memusuhi Dr Zakir Naik yang secara tidak langsung tindakan ini juga membangkitkan kemarahan, kebencian

dan permusuhan penganut agama lain ke atas agama Islam," katanya.

Sebelum itu, Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) mendesak kerajaan segera membatalkan program yang melibatkan Zakir termasuk melarangnya memasuki negara ini.

Semalam, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah memutuskan untuk tidak membenarkan forum Zakir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) demi ketenteraman awam dan sensitiviti beragama di negara ini.

Zakir dijadualkan akan berada di UTeM bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam', Ahad  ini.

Sementara, Mufti Perlis yang mengulas mengenai larangan itu menawarkan Zakir ke Perlis bagi menyampaikan ceramahnya sekiranya ceramah asalnya di Melaka itu dibatalkan.