PAS kata Zahid dan Khalid cuba kembalikan era gelap Mahathir
Semalam, Lim berkata keangkuhan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara, Khalid yang tidak sampai sebulan memegang jawatan hanya akan merosakkan demokrasi dan hak asasi negara.
“Ketika (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) di kenang sebagai Perdana Menteri kerajaan minoriti yang pertama dalam sejarah negara ini, Zahid dan Khalid pula akan dikenang sebagai dua watak yang mengheret Malaysia kembali ke zaman gelap Dr Mahathir,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang dipetik dalam laman portal Harakah hari ini.
“Rabu lalu, ketika berucap kepada rakyat yang berhimpun menyokong Adam Adli berdekatan Lokap Berpusat Jinjang, saya memberitahu tidak sepatutnya Adam ditangkap.
“Begitu juga Tamrin, Tian Chua dan Haris. Mereka tidak pernah menghasut sesiapa pun mencetuskan penentangan bersenjata,” kata beliau lagi yang dipetik dalam media rasmi parti Islam tersebut.
Bekas MP Kubang Kerian tersebut juga berkata Ahmad Zahid dan Khalid sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk menangani kadar jenayah yang meningkat dan meruncing berlaku di dalam negara, bukannya hanya menjadikana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebagai mangsa.
“Ketika rumah kakaknya sendiri di Mantin di rompak dan rumah adik Timbalan Perdana Menteri di Petaling Jaya juga dirompak, Khalid sepatutnya menumpukan tugasnya membenteras jenayah dan bukannya melakukan tugas lain untuk menyenangkan hati para pembesar-pembebsar Umno,” tambah Salahuddin lagi.
Khamis lalu, pihak polis telah membuat tangkapan besar-besaran dimana tiga individu terbabit telah ditahan dibawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan tetapi dibebaskan selepas itu apabila Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan lanjutan reman oleh pihak polis.
Pertikaian tercetus awal minggu lalu apabila Adam ditahan dibawah Akta Hasutan dan kemudiaannya disusuli dengan tangkapan tiga individu lagi dipercayai ditahan kerana pengelibatan mereka dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.
Individu pertama yang ditahan akibat forum itu dan didakwa kerana menghasut adalah aktivis mahasiswa, Adam di kompleks mahkamah Jalan Duta.
Adam, 24, mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perbicaraannya ditetapkan bermula pada 2 Julai.
Ekoran tindakan keras terhadap pemimpin pembangkang dan pengkritik tersebut, pemimpin PR menuduh Barisan Nasional (BN) tidak pernah jujur dalam mahukan reformasi politik sebenar.
Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia telah membanjiri lima perhimpunan anjuran PR di seluruh negara baru-baru ini bagi membantah dakwaan penipuan yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, serta menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
Penganalisis dan pemerhati menyatakan BN mengekalkan kuasa pusat pada PRU13 dengan sokongan dan kekuatan pengundi luar bandar, dengan sebahagian besar kerusi yang dimenangi mereka adalah dari Sabah dan Sarawak, manakala pengundi kelas pertengahan dan bandar yang tertumpu di kawasan yang lebih besar tidak lagi menyokong parti pemerintah dan menyokong PR.
0 orang berkata:
Post a Comment