• Jangan putus berdoa dan solat Istisqa
1 / 1
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang terjejas akibat  cuaca panas berpanjangan sehingga berlakunya masalah bekalan air dan kebakaran hutan dinasihati supaya tidak mudah berputus asa memohon doa dan melakukan solat hajat Istisqa.

Pendakwah, Ustaz Mohamad Abdullah menggesa umat Islam di Malaysia ambil inisiatif melaksanakan solat hajat meminta hujan secara berterusan.

“ALLAH SWT sedang menguji kita untuk melihat ketakwaan kita kepada-Nya dan kita sebagai manusia perlu meminta pertolongan dari-NYA pencipta kita.

“Mungkin musibah yang berlaku kepada kita semua (rakyat Malaysia) disebabkan kemurkaan ALLAH kerana dosa-dosa telah kita lakukan,” katanya, semalam.

Tambahnya, masyarakat Islam Malaysia perlu memandang dari pelbagai sudut perspektif dan mensyukuri nikmat yang telah diberikan ALLAH kepada umat manusia.

“Kita minta hujan dari ALLAH, tetapi mungkin ALLAH telah memberi nikmat lain kepada kita yang mungkin kita tidak perasan,” katanya.