• Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya menjawab 'tiada maklumat' ketika ditanya media berhubung krisis menteri besar di negeri ini.

Beliau juga enggan mengulas lanjut dan menolak untuk ditemui media selepas memberi ucapan khas kemerdekaan pada wacana kemerdekaan di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel), di sini.

Menurut pegawai Pejabat Presiden Pas, Mohd Adram Musa, Abdul Hadi akan bermesyuarat bagi membincangkan isu semasa dalam masa terdekat.

Beliau tidak menolak soal PRK Pengkalan Kubor akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden dan Majlis Syura Ulama.

"Beliau akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk bincang hal semasa.

"(Berkaitan jawatan menteri besar?) Tak semestinya. (PRK Pengkalan Kubor?) Itu tidak dinafikan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan empat nama telah dicadangkan Pas Selangor untuk dicalonkan sebagai menteri besar.

Empat wakil rakyat yang dilaporkan dicalonkan ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad; Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi; Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Adun Tanjung Sepat, Ir. Mohd. Haslin Hassan.

Sementara itu, Sallehen Mukhyi ketika ditanya soal pencalonan empat nama itu hanya menjawab, "tidak ada".